suria

Sultan Perak perintah JPN beri kad pengenalan sementara kepada Ragu sebelum Aidilfitri

IPOH: Sultan Perak Sultan Azlan Shah mengeluarkan titah perintah kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya memberi kad pengenalan sementara kepada R. Ragu, yang tidak memiliki taraf warganegara.

Ragu dari Segamat, Johor, berkhemah bersama keluarganya dalam sebuah kereta di sebuah stesen minyak di sini sementara menunggu surat sokongan daripada baginda bagi mebolehkannya mendapat dokumen pengenalan diri daripada jabatan itu.

Ahli Exco Perak A. Sivanesan berkata, JPN berkewajipan memberi kad pengenalan sementara kepada Ragu, 33, sebelum Aidilfitri.

"Mereka perlu keluarkan kad pengenalan sementara ini menjelang Isnin atau Selasa, seperti yang diperintahkan oleh Tuanku.

"Tuanku (Sultan Azlan Shah) amat bersimpati dengan Ragu dan bertitah bahawa perkara ini (masalah yang dihadapi oleh Ragu) tidak sepatutnya berlaku," katanya kepada pemberita di luar Istana Kinta di sini selepas mengadap Sultan Azlan Shah hari ini.

Sivanesan berkata, Ragu perlu mempunyai kad pengenalan sementara terlebih dulu sebelum memohon MyKad.

"Saya akan berusaha sedaya upaya untuk menolongnya mendapatkan taraf kerakyatan," kata beliau.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata beliau kesal dengan apa yang berlaku terhadap Ragu dan menggesa JPN mengambil langkah proaktif bagi membantu mereka yang menghadapi masalah seperti itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain