suria

Shahrizat pertahan jawatan Naib Ketua Wanita, harap tiada cabaran

RAFIDAH Aziz dengan aksi sendiri cuba menyatakan sesuatu tentang Shahrizat Abdul Jalil selepas mesyuarat khas Exco Wanita Umno di Kuala Lumpur petang tadi.
RAFIDAH Aziz dengan aksi sendiri cuba menyatakan sesuatu tentang Shahrizat Abdul Jalil selepas mesyuarat khas Exco Wanita Umno di Kuala Lumpur petang tadi.
RAFIDAH Aziz dengan aksi sendiri cuba menyatakan sesuatu tentang Shahrizat Abdul Jalil selepas mesyuarat khas Exco Wanita Umno di Kuala Lumpur petang tadi.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan akan mempertahankan jawatannya sebagai Naib Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti Disember ini.

"Untuk Perhimpunan Agung Umno pada tahun ini (Disember), saya menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Naib Ketua Wanita Umno dan saya terima cadangan Tan Sri Rafidah Aziz untuk peralihan jawatan seperti mana yang diumumkan pada 4 Ogos lalu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas exco Wanita Umno selama lebih dua jam di sini.

Shahrizat berkata, beliau membuat keputusan itu kerana menghormati Rafidah sebagai Ketua Wanita Umno secara peribadi dan kepimpinan beliau yang sudah lama memimpin pergerakan itu dengan baik sekali.

Beliau juga menasihati anggota Wanita di peringkat bahagian yang akan bermesyuarat pada bulan depan untuk menerima keputusan itu dan tiada anggota yang akan bertanding bagi jawatan nombor dua itu bagi mengelakkan perpecahan dalam parti.

"Kalau ada pertandingan masa ini sudah semestinya akan melemahkan Wanita Umno dari (peringkat) atas ke cawangan kerana terpaksa buat pilihan dan saya mahu menentukan bahawa Wanita Umno mantap, ada perpaduan sebab kita terpaksa hadapi pelbagai cabaran," katanya.

Shahrizat berharap keputusannya itu akan menjadikan Wanita Umno lebih mantap, teguh dan mempunyai suara kesepakatan.

"Saya percaya perpaduan akan dapat dicapai dengan tiada pertandingan untuk jawatan Ketua Wanita Umno dan insya-Allah untuk jawatan Naib Ketua.

"Saya hendak minta kepada semua perwakilan di peringkat bahagian, persetujuan daripada mereka dan semua perwakilan dan pemimpin peringkat negeri dan nasional supaya menerima keputusan Exco Wanita hari ini dan pelan peralihan jawatan," katanya.

Shahrizat juga menegaskan bahawa beliau tidak akan bertanding jawatan Ketua Wanita kerana menghormati pelan peralihan jawatan yang dipersetujui.

"Saya tidak akan bertanding Ketua Wanita, jangan calonkan saya.

"Yang penting bagi saya penghormatan. Saya akan pertahankan jawatan saya kerana saya terima pelan peralihan," katanya.

Sementara itu, Rafidah meminta anggota Wanita di semua peringkat supaya menerima pelan peralihan jawatan itu demi parti dan berharap tiada pihak luar yang akan mengkucar-kacirkan parti.

"Walaupun saya mampu untuk teruskan (sebagai Ketua Wanita) tapi eloklah saya serah kepada Shahrizat Jun depan.

"Saya hendak supaya tiada pertandingan untuk jawatan nombor satu dan dua untuk mengelakkan pecah belah dalam parti," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, anggota Wanita Umno boleh bertanding untuk jawatan lain kecuali jawatan Ketua dan Naib Ketua demi masa depan dan perpaduan pergerakan dan juga Umno. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain