suria

Pekerja restoran warga Vietnam mati dibunuh

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki pekerja restoran warga Vietnam dijumpai mati berlumuran darah di sebuah rumah teres di Jalan Api-Api, Kepong Baru malam tadi.

Kejadian itu hanya disedari apabila pemilik rumah berkenaan yang juga pemilik restoran tempat mangsa itu bekerja menerima panggilan telefon dan dimaklumkan tentang kematian tersebut oleh orang yang tidak dikenali pada pukul 9 malam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata mangsa Vu Van Huyen, berusia dalam lingkungan 20an, dijumpai mati dalam keadaan terbaring seperti seorang yang sedang tidur dengan kesan cedera di kepala dan kedua-dua belah tangan di bilik tengah rumah itu.

"Mangsa ada kesan lebam di kepala dipercayai dipukul dengan objek keras dan dan luka di pergelangan tangan. Kemungkinan berlaku pergelutan kerana ketika mangsa ditemui, barang di dalam bilik itu bersepah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

"Kita tidak pasti berapa ramai yang menduduki rumah itu namun jumlahnya dipercayai tidak kurang daripada enam orang dan sehingga kini seorang penghuni rumah itu yang merupakan seorang rakyat tempatan ditahan malam tadi bagi membantu siasatan," katanya.

Zakaria berkata polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut