suria

Keputusan MT: Tanda Abdullah akur desakan akar umbi

PETALING JAYA: Keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno menunda Perhimpunan Agung Tahunan sehingga Mac depan bagi membolehkan peralihan kepimpinan dipercepatkan, menunjukkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akur dengan desakan yang mahu beliau berundur awal.

Pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Ghazali Mahyuddin berkata, keputusan tersebut menunjukkan Abdullah menghadapi tekanan untuk berundur lebih awal daripada masa peralihan kuasa yang ditetapkan sebelum ini antara beliau dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pak Lah sudah dapat melihat tanda-tanda sokongan yang semakin kurang terhadapnya.

“Keputusan mesyuarat MT hari ini menunjukkan yang beliau akur terhadap desakan sebahagian pemimpin dan akar umbi dalam Umno yang mahukan beliau berundur lebih awal daripada masa yang disebutkan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beliau berkata, jika benar Najib mendapat sokongan daripada akar umbi, keputusan mempercepatkan peraliahn kuasa ini adalah langkah yang baik bagi mengukuhkan kembali Umno selepas menunjukkan prestasi yang buruk pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Sementara itu, Profesor Dr. Chandra Muzaffar bersependapat yang Abdullah akur kepada desakan akar umbi tetapi ia tidak sepenuhnya.

“Pak Lah dilihat akur terhadap desakan itu tetapi tidak seratus peratus kerana beliau masih belum memberitahu dengan jelas bila sebenarnya ia (peralihan kuasa) akan berlaku dan MT Umno juga masih belum membuat keputusan yang jelas berhubung isu itu,” katanya.

Presiden JUST itu berkata, keputusan itu juga menggambarkan keadaan yang tidak tentu arah dalam Umno.

“Keadaan dilihat menjadi tidak tentu arah kerana Pak Lah belum membuat keputusan bila mahu berundur tetapi persidangan perwakilan bahagian akan tetap diteruskan bermula 9 Oktober ini.

“Justeru Pak Lah sesemangnya perlu membuat keputusan sama ada mahu bertanding dalam pemilihan akan datang atau tidak sebelum tarikh itu bagi membolehkan bahagian menentukan sama ada mahu mencalonkan beliau atau orang lain,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah, Zaini Othman menyifatkan keputusan itu sebagai langkah fasa pertama untuk Umno memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti yang menjadi tunggak kepada BN itu.

“Anjakan pemilihan peringkat pusat kepada Mac 2009 ini akan memberi masa kepada Umno untuk melakukan pemilihan peringkat dalaman terlebih dahulu. Siapa tahu, mungkin Pak Lah akan meletak jawatan sebelum Mac itu,” katanya.

Zaini berkata, beliau amat berharap keputusan itu bukan hanya satu pengumuman tetapi harus diikuti dengan tindakan-tindakan konstruktif yang menyokong kepada peralihan kuasa yang lebih awal.

“Contohnya selepas ini perlu diberitahu pula tarikh sebenar peralihan kuasa yang baru itu dan juga mungkin ada pelan-pelan peralihan yang baru.

“Jika sebelum ini, Pak Lah memang sudah mengumumkan peralihan kuasa akan berlaku pada Jun 2010 tetapi selepas itu, tiada tindakan-tindakan konstruktif untuk menggambarkan ia akan berlaku.

“Hanya apabila timbul lagi desakan-desakan, barulah kita dapat lihat keputusan menyerahkan portfolio Menteri Kewangan kepada Datuk Seri Najib,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain