KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan dua anggota polis membela diri terhadap pertuduhan melakukan rompakan bersenjata api dan secara berkumpulan tujuh tahun lepas.Hakim Nursinah Adzmi berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan ada kes prima facie terhadap Cif Insp Wan Roslan Wan Abdul Rahman, 38, dan Kpl Md Zain Abdul Rashid, 54, dan menetapkan perbicaraan selama tiga hari bermula 28 Jan depan. Wan Roslan, yang ditahan di Penjara Sungai Buloh sejak 4 Julai 2001, dan Mohd Zain yang dibebaskan dengan ikat jamin, kelihatan tenang ketika mendengar keputusan tersebut.Wan Roslan yang menghadapi empat pertuduhan didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di rumah B113, Setapak Ria Condo, Jalan Genting Klang, Setapak di sini, pada 5 petang 1 Mei 2001.Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga dia didakwa bersamasama empat rakannya merompak tiga lelaki dengan mengacukan senjata api.Bagi pertuduhan keempat dia dan Mohd Zain didakwa merompak ahli perniagaan Tan Thian Sun, 28, wang sebanyak RM7,000.Md Zain juga menghadapi pertuduhan merompak Lee Kok Chin (umur tidak dinyatakan) wang sebanyak RM600 dalam sebuah van di Perhentian Bas Jalan Pekeliling, antara 5 petang dan 6 petang 1 Mei 2001.Tiga lagi rakan mereka, dua daripadanya merupakan anggota polis dan seorang orang awam, telah dijatuhi hukuman pada 20 Julai 2007 setelah menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 19 Julai 2007.Insp Haris Ibrahim, 43, dari Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, dan Lans Kpl Alfred Ginsu, 37, dari Unit Tindakan Khas, Bukit Aman, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dengan satu sebatan setelah mereka mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan.Osman Ishak, 39, pula dipenjara lapan tahun dengan satu sebatan setelah turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang sama. BERNAMA