Bicara kes tukang andam ditetapkan 2 Mac depan - Semasa | mStar

Bicara kes tukang andam ditetapkan 2 Mac depan

KUANTAN: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 2 Mac tahun depan sebagai tarikh perbicaraan kes seorang lelaki "tukang andam" yang dituduh menipu keluarga dan bakal pengantin membabitkan hampir RM65,000.

Majistret Nor Zaihan Mohamad Ali menetapkan tarikh itu selepas Azman Abu, 31, mengulangi pengakuan tidak bersalahnya terhadap 11 pertuduhan apabila kes berkenaan disebut semula hari ini.

Pada 12 Sept lepas, Azman didakwa di dua mahkamah majistret di sini atas tuduhan menipu dua wanita, Fadzilahtul Akmam Mohamad Salihudin, 26, serta Hashimah Hashim, 53, selain Kamal Ridzuan Abdul Malek, 32, dan Hasmadi Mohd Ali, 31.

Dia didakwa menipu dengan mendorong mangsa menyerahkan wang deposit untuk pelbagai perkhidmatan termasuk set pelamin, hiasan bilik tidur, pakej hantaran, fotografi, pakaian, mekap dan makanan bagi menganjurkan majlis perkahwinan.

Azman turut menghadapi 19 lagi pertuduhan di mahkamah kedua dan Majistret Nordiana Abd Aziz sebelum ini menetapkan 9 Okt depan untuk kes itu disebut semula.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di D' Teratak Pesona Anggun, Kompleks Teruntum di sini dari Mei hingga Julai lepas mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan atau denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Cif Insp T. Murugesu manakala Azman diwakili peguam Che Arifin Mohd Ali. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain