suria

PLUS sedia hadiah tol percuma RM2,000 setahun

KUALA LUMPUR: Seramai 10 pengguna kad 'Touch n Go' lebuh raya PLUS yang menambah nilai minimum RM50 pada kad 'Touch n Go' mereka hari ini sehingga 15 Oktober berpeluang memenangi tol percuma selama setahun bernilai RM2,000 setiap seorang.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Expressways Bhd, Nik Airina Nik Jaffar berkata, seramai 150 pemenang sagu hati pula akan menerima kad 'Touch n Go' bernilai RM100 setiap seorang.

"Nama pemenang peraduan akan diumum dua minggu selepas tarikh tutup penyertaan," katanya di Majlis Pelancaran Peraduan 'Jom Balik Kampung' di sini hari ini. Beliau berkata, 60,000 peserta terawal pula berpeluang mendapatkan buku panduan keselamatan dan cakera padat lagulagu Hari Raya secara percuma Edisi Khas PLUS.

Katanya, PLUS Expressway juga akan mamanjangkan waktu membuka lorong isi semula sehingga pukul 11 malam semasa tempoh peraduan ini berbanding pada hari biasa yang hanya dibuka sehingga pukul 7 malam.

Ketua Pegawai Touch n Go Sdn Bhd, Hasni Zarina Mohamed Khan berkata, pengguna yang membeli kad 'Touch n Go' Etiqa secara automatik akan menerima perlindungan Kemalangan RM10,000 dan Tuntutan Perubatan RM2,000.

Katanya, peserta dikehendaki mendaftarkan penyertaan mereka menggunakan khidmat pesanan ringkas dan juga mempamerkan pelekat khas yang diberi pada kenderaan mereka.

Beliau berkata, untuk menyertai peraduan ini pengguna boleh membeli atau menambah nilai kad 'Touch n Go' di pusat khidmat pelanggan dan lorong tambah nilai di lebuh raya PLUS serta cawangan 'Touch n Go' di Menara Faber dan KL Sentral.

PLUS Expressways Bhd dan Touch n Go Sdn Bhd menganjurkan peraduan 'Jom Balik Kampung: Get Spotted n Win' untuk menggalakkan pemandu di lebuh raya PLUS, ELITE, LINKKEDUA dan ButterworthKulim menggunakan sistem pembayaran tol secara elektronik. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain