suria

Pemilihan Umno ditangguh ke Jun 2009?

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak pasti sama ada Perhimpunan Agung parti itu yang dijadualkan Disember ini akan ditunda ke tahun depan.

"Saya tidak begitu tahu tentang cadangan (tunda) itu, tetapi yang jelasnya, ini satu perkara penting.

"Jadi saya tak dapat nak komen pada masa ini," katanya selepas melancarkan Forum CEO Malaysia-India 2008 di sini.

Muhyiddin menafikan bahawa terdapat perebutan kuasa dalam Umno sehingga melemahkan parti itu.

Beliau diminta mengulas mengenai spekulasi bahawa pemilihan parti Disember ini akan ditangguhkan sehingga pertengahan tahun depan.

mStar Online difahamkan perkara tersebut telah dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, Khamis lalu.

Malah, syor supaya pemilihan parti ditangguhkan bukan baru kerana ia pernah dibangkitkan sejurus selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, antara lain bagi membolehkan Umno memberi tumpuan terhadap proses pemulihan terlebih dahulu.

Kini, idea tersebut muncul semula ekoran wujudnya pandangan agar pelan peralihan kuasa Jun 2010 antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dikaji semula.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, ditemui wartawan selepas melancarkan Forum CEO Malaysia-India 2008 di sini.

Ketika ditanya mengenai pandangan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno wajar dipertandingkan, Muhyiddin berkata, beliau menyokong kenyataan tersebut.

"Apa yang dicadangkan oleh Rais adalah munasabah dan perlembagaan parti membenarkannya," katanya.

Jelas beliau, perkara tersebut bukan sesuatu yang luar biasa dan sebahagian daripada proses demokrasi.

Apabila ditanya mengenai jawatan yang akan ditandingi beliau, Muhyiddin berkata, adalah terlalu awal untuk mengumumkan pendiriannya ketika ini.

"Saya belum membuat keputusan lagi... bila sampai masanya, saya akan umumkan," kata beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Lain