suria

Mahkamah Rayuan kekal penjara 2 tahun bekas PM Thai

BANGKOK: Dua bulan selepas minatnya yang mendalam terhadap masakan menyebabkan beliau kehilangan jawatannya, bekas Perdana Menteri, Samak Sundaravej gagal membatalkan hukuman penjara dua tahun yang dihadapinya kerana kesalahan memfitnah.

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan Mahkamah Jenayah yang mendapati Samak dan hos bersama Dusit Siriwan bersalah memfitnah bekas Timbalan Gabenor Bangkok, Samart Ratchapholsit dalam satu program bual bicara televisyen.

Pada April tahun lepas, Samak dan Dusit dihukum penjara 24 bulan oleh Mahkamah Jenayah selepas keduaduanya didapati bersalah menuduh Samart terlibat dalam rasuah ketika mengendalikan program "Chao Wan Nee Tee Chong Ha" (Hari Ini di Saluran Lima) dan "SamakDusit Kid Tam Wan" (Buah Fikiran Harian SamakDusit).

Samak, yang hadir di mahkamah dan Dusit diberi 30 hari untuk merayu ke Mahkamah Agung.

Pada 9 September, Mahkamah Perlembagaan melucutkan jawatan Samak selepas mereka mendapatinya bersalah melanggar Perlembagaan 2007 dengan menjadi hos program masakan "Tasting and Grumbling and All Set at 6am" semasa memegang jawatan perdana menteri.

Bekas Gabenor Bangkok itu menjadi Perdana Menteri ke-25 Thailand pada Februari selepas menerajui Parti Kuasa Rakyat (PPP) meraih kemenangan pada pilihan raya 23 Disember 2007.

Namun kerajaan gabungan enam parti pimpinan beliau bergolak sejak awal lagi ekoran dakwaan yang beliau adalah proksi kepada perdana menteri yang telah digulingkan Thaksin Shinwatra.

Pada 26 Ogos, parti Pakatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD) menawan Bangunan Kerajaan dan masih menduduki premis itu, memaksa kerajaan untuk beroperasi dari Lapangan Terbang Don Mueng.

Samak yang terkenal dengan kelantangannya cuba untuk kembali selepas keputusan Mahkamah Perlembagaan itu tetapi ditolak oleh anggota Parlimen partinya yang bimbang kesnya di mahkamah hari ini akan meruntuhkan kerajaan.

Beliau telah digantikan oleh adik ipar Thaksin, Somchai Wongsawat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain