suria

Kuil di Ampang diroboh, MIC bidas MPAJ

KUALA LUMPUR: MIC hari ini membidas tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang meroboh sebuah kuil Hindu di Ampang awal bulan ini.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dalam satu kenyataan hari ini berkata, Majlis Kerajaan Tempatan perlu memberi notis dan tanah yang mencukupi untuk sesebuah kuil dipindahkan sebelum mengambil keputusan merobohkannya.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini tentang perobohan Kuil Sri Maha Kaliamman di Kampung Tasik, Jalan Baru, Ampang, pada 9 September lepas.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamarudin apabila dihubungi berkata, kuil berkenaan tidak sepatutnya diroboh dan terdapat prosedur tertentu yang perlu dipatuhi sebelum kerja meroboh dilakukan.

Katanya, MPAJ meroboh kuil tersebut tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang berbincang dengan MPAJ berkenaan isu tersebut dan tindakan lanjut akan dibuat selepas siasatan menyeluruh diadakan.

"Kita telah berjumpa pihak pengurusan kuil berkenaan dan penduduk Hindu setempat dan telah menerangkan keadaan sebenar kepada mereka.

"Mereka faham dan bersetuju untuk bersabar sehingga siasatan selesai dijalankan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain