suria

Kanak-kanak 3 tahun saman, Amy Search kata 'dia tak lepas tangan'

NIK Zahir Nik Idris dan isterinya, Nur Maya Abd Rahman menunjukkan kesan kecederaan dialami Nik Muhammad Zakwan di Kuala Lumpur semalam.
NIK Zahir Nik Idris dan isterinya, Nur Maya Abd Rahman menunjukkan kesan kecederaan dialami Nik Muhammad Zakwan di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun menyaman penyanyi Amy Search, selaku pemilik Restoran Laksamana Cheng Ho, kerana didakwa cuai sehingga menyebabkan bahagian belakang badannya melecur akibat terkena tumpahan kuah tomyam panas.

Kanak-kanak berkenaan, Nik Muhammad Zakwan Nik Zahir memfailkan saman itu melalui bapanya, Nik Zahir Nik Mohd. Idris, 31.

Bagaimanapun dia tidak menetapkan jumlah ganti rugi dituntut.

Saman tersebut yang menamakan Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman selaku defendan, difailkan melalui firma guaman, Tetuan Adnan Seman & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen Sivil di sini semalam.

Plaintif turut hadir bersama bapa dan ibunya, Nur Maya Abdul Rahman, 29, serta peguam Adenan Seman @ Abdullah.

Kes itu akan disebut semula 26 November ini.

Menurut laporan Utusan Malaysia hari ini, dalam pernyataan tuntutannya, Nik Muhammad Zakwan selaku plaintif menyatakan dia sekeluarga dan saudara mara mengunjungi restoran itu di Wangsa Maju pada 17 Jun lalu bagi meraikan sambutan kelahiran ahli keluarga baru mereka.

Semasa mereka sedang berbual-bual dan menunggu makanan disediakan, dakwanya, seorang pekerja defendan telah membawa sebuah dulang makanan mengandungi semangkuk besar tomyam panas, masakan ikan siakap dan sayur tauhu dengan hanya menggunakan sebelah tangan.

Sewaktu menghampiri meja mereka, dakwa plaintif, pekerja itu telah gagal mengimbangi dulang itu yang berada di atas kepala plaintif menyebabkan tomyam panas dan ikan siakap tertumpah dan mengenai badannya serta percikan kuah tomyam itu mengenai mata bapanya.

Dakwa plaintif yang merupakan anak tunggal, keadaan menjadi kecoh apabila dia yang berusia tiga tahun lima bulan ketika itu meraung kesakitan dan didapati bahagian badannya telah melecur dengan teruk.

Plaintif yang dibawa ke sebuah klinik berhampiran sebelum ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kemudiannya disahkan telah mengalami kesan melecur tahap satu dan dua di badan dan beberapa tempat lain serta perlu mendapat rawatan susulan.

Keluarga plaintif mendakwa merasa amat kecewa kerana ketika kejadian itu berlaku, pekerja terbabit mahupun pekerja-pekerja lain di restoran itu tidak tampil membantu mangsa serta memohon maaf.

Dakwa plaintif lagi, kejadian itu telah dilaporkan dalam sisipan Pancaindera di akhbar Mingguan Malaysia pada 29 Jun lalu dan bapanya turut meninggalkan nombor telefon tetapi tiada sesiapa daripada restoran itu menghubunginya untuk menyelesaikan perkara itu.

Dalam pada itu, Amy yang dihubungi tadi enggan mengulas lanjut tentang kes tersebut.

Namun beliau mengakui agak kesal dengan dakwaan yang dibuat itu, seolah-olah menggambarkan dirinya sebagai pemilik restoran yang tidak bertanggungjawab.

"Saya akan serahkan hal ini kepada peguam saya untuk uruskan.

"Apa yang boleh saya katakan, saya tidak pernah lari daripada tanggungjawab seperti ini. Saya tahu ini adalah kecuaian pekerja saya dan saya sendiri telah bersemuka dengannya setelah kejadian itu berlaku.

"Ketika cerita ini dikeluarkan di akhbar dulu, isteri saya Norhasniza Hassan juga turut membuat kenyataan tentang hal tersebut dan menyuruh mereka menghubungi kami untuk selesaikan perkara itu," katanya.

Bagaimanapun kata Amy, "tidak ada langsung respons daripada mereka."

"Saya tidak 'lepas tangan' mengenai hal ini. Ketika kejadian itu berlaku, pengurus restoran saya sendiri ingin membawa kanak-kanak tersebut ke hospital, tetapi mereka hanya berlalu pergi begitu saja.

"Buat masa ini, saya tidak mahu komen panjang tentang hal ini. Saya tunggu saja nasihat daripada peguam saya tentang apa yang perlu saya lakukan," kata Amy.

Ditanya sama ada kes ini mampu menjejaskan bisnes restorannya kelak, kata Amy, dia tidak mampu meramalkan tentang hal tersebut.

Namun beliau akui perniagaan seperti itu sememangnya perlu berhadapan dengan pelbagai risiko.

"Bagi saya, bila sesuatu perkara itu berlaku, kita kenalah hadapinya. Saya tidak tahu sama ada kes tersebut boleh memberi impak buruk kepada restoran saya atau tidak, tetapi apa yang boleh saya katakan, saya bersedia untuk hadapi apa saya yang berlaku," kata Amy.

Artikel Sebelum

Artikel Lain