suria

Harga petrol, diesel turun lagi, kali ini 10 sen

SHAHRIR Abdul Samad menunjukkan kenyataan media ketika mengumumkan harga runcit baru petrol dan diesel di pejabatnya di Putrajaya petang semalam.
SHAHRIR Abdul Samad menunjukkan kenyataan media ketika mengumumkan harga runcit baru petrol dan diesel di pejabatnya di Putrajaya petang semalam.
SHAHRIR Abdul Samad menunjukkan kenyataan media ketika mengumumkan harga runcit baru petrol dan diesel di pejabatnya di Putrajaya petang semalam.

PUTRAJAYA: Harga petrol dan diesel mengalami penurunan sebanyak 10 sen berkuat kuasa hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan harga runcit petrol RON97 turun sebanyak 10 sen seliter kepada RM2.45 seliter daripada RM2.55.

Harga RON92 juga diturunkan sebanyak 10 sen kepada RM2.30 daripada RM2.40. Diesel juga turun 10 sen seliter kepada RM2.40 seliter daripada RM2.50.

Pagi semalam, mesyuarat Kabinet telah membincangkan perkara berkenaan.

Ini merupakan kali kedua harga runcit bahan api itu diturunkan selepas mengalami peningkatan besar Jun lalu.

Jun lalu, kerajaan menaikkan harga petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.

Pada 23 Ogos lalu harga petrol dikurangkan sebanyak 15 sen kepada RM2.55 seliter daripada RM2.70.

Abdullah menyatakan perkara tersebut dalam kenyataan medianya yang dibacakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad di sini petang semalam.

Abdullah berkata, pelarasan harga baru itu ditentukan dengan mengambil kira harga sebenar petrol di pasaran dari 1 hingga 22 September lalu.

Katanya, walaupun harga minyak dunia menunjukkan sedikit penurunan, namun nilai ringgit berbanding dolar Amerika juga menyusut menyebabkan pengurangan sebanyak 10 sen itu merupakan nilai pengurangan maksimum yang dapat diberikan kerajaan.

Abdullah berkata, keputusan pelarasan harga minyak itu diambil semalam memandangkan mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pagi semalam merupakan yang terakhir untuk bulan September ini dan juga sebelum tibanya Aidilfitri yang dijangka Rabu depan.

"Kerajaan juga maklum bahawa orang ramai akan mula melakukan perjalanan pulang ke kampung halaman bagi menyambut lebaran bermula hujung minggu ini.

"Justeru adalah menjadi harapan kerajaan agar pelarasan harga ini akan dapat meringankan beban orang ramai, terutamanya dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri ini," kata Perdana Menteri.

Semalam, Perdana Menteri berkata, adalah menjadi harapannya harga petrol dan diesel dapat dikurangkan daripada harga semasa berikutan harga minyak mentah dunia yang kini berada pada paras kira-kira AS$100 setong.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, perkara tersebut perlu dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Sementara itu, Shahrir berkata, mengikut perkiraan purata harga minyak bagi tempoh itu, kerajaan sebenarnya hanya boleh menurunkan harga sebanyak 7 sen sahaja.

Bagaimanapun, katanya, bagi meringankan beban rakyat, kerajaan memberikan subsidi tambahan tiga sen bagi setiap liter bagi membolehkan rakyat menikmati penurunan harga sebanyak 10 sen bagi setiap liter mulai esok.

Sebagai tambahan kepada tiga sen itu, kerajaan memberikan subsidi 30 sen bagi setiap liter petrol yang dijual di negara ini sejak Jun lepas, katanya.

Shahrir berkata, beliau juga tidak melihat sebarang kemungkinan yang boleh menyebabkan bekalan bahan api itu terjejas kerana penurunan itu tidak akan merugikan peniaga, sebaliknya cuma akan mengurangkan sedikit margin keuntungan mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Lain