suria

Putera Umno bantu cari pelajar Malaysia hilang di Australia

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Seketariat Pembelaan Masyarakat Putera Umno sedang membantu mencari dan membawa pulang seorang pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Curtin University of Technology, Perth, Australia yang dipercayai diperdayakan orang.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pelajar wanita berusia 21 tahun dan berasal dari Serdang Selangor itu sedang menuntut dalam bidang Geologi dan telah tidak menghadiri kuliah sejak Januari lepas.

"Anak sulung dari empat adik-beradik itu ada menghubungi ibu bapanya untuk kali terakhir minggu lepas dan memaklumkan akan pulang ke tanah air pada 16 Oktober depan.

"Bagaimanapun apabila keluarganya cuba menghubunginya semula, telefon mudah alihnya tidak berfungsi lagi," katanya pada sidang media di Sekretariat Putra Umno di sini, hari ini.

Abdul Azeez berkata, ibu bapa pelajar berkenaan sudah membuat laporan polis mengenai "kehilangan" anaknya itu.

"Ibu bapa pelajar itu menyatakan anak mereka tertekan dan meninggalkan kuliah sejak awal tahun ini dan sejak tiga bulan lepas bekerja sebagai pengurus syarikat mencuci bangunan," katanya.

Bagaimanapun mereka dimaklumkan pegawai syarikat itu yang anak mereka tidak datang bekerja sejak dua tiga hari lepas dan dikatakan telah mengikut kawankawannya pulang ke rumah mereka di Rock Hampton.

Sehubungan itu, Putera Umno dengan pegawai undang-undang dan dua pegawai lain akan membawa ibu bapa pelajar itu ke Perth awal bulan depan bagi berusaha membawanya pulang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain