suria

Polis rampas enam kereta mewah curi bernilai RM1juta

PETALING JAYA: Polis merampas enam kereta mewah yang dipercayai dicuri di sekitar Lembah Klang untuk diseludup ke Thailand berikutan penangkapan tiga anggota sindiket curi dan seludup kereta dalam operasi Lejang, awal bulan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Bakri Zinin berkata sindiket itu yang dipercayai aktif sejak Februari tahun ini kini lumpuh hasil tangkapan itu dan penemuan semula enam kereta yang bernilai RM1 juta.

"Kereta-kereta itu didapati curi sekitar ibu negara dan Selangor. Siasatan mendapati penjenayah menggunakan cukai jalan palsu dengan menyalin semula cukai jalan yang sah, yang kemudian dipinda," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.

Dua daripada anggota sindiket yang ditahan itu merupakan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan seorang lagi merupakan penganggur yang mempunyai rekod jenayah lampau, katanya.

Siasatan terhadap ketigatiga suspek yang berumur dalam lingkungan 19 tahun dan 36 tahun itu mendapati sindiket itu telah menyeludup 14 kereta mewah bernilai RM2.5 juta ke Thailand, katanya. "Kereta mewah yang menjadi tumpuan mereka ialah jenis Toyota Estima, Toyota Camry, BMW dan Volkswagen kerana permintaan yang tinggi dari negara jiran itu," katanya. Bakri berkata kumpulan terbabit turut menjadikan sebuah apartmen di Petaling Jaya sebagai markas untuk memalsukan cukai jalan dengan penemuan kelengkapan komputer bagi tujuan mencetak cukai jalan palsu.

Beliau berkata mereka kini ditahan reman dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana kesalahan curi kenderaan.

"Polis sedang mengesan sakibaki anggota kumpulan sindiket terbabit," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain