suria

NGO buat laporan polis terhadap Anwar

Sebahagian daripada 20 anggota Barisan Bertindak Gombak (BBG) yang diwakili Pertubuhan Badan Kerajaan dan Bukan Kerajaan (NGO) berhimpun di hadapan Balai Polis Gombak selepas membuat laporan polis terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan mengganggu gugat kestabilan negara.

KUALA LUMPUR: Barisan Bertindak Gombak yang diwakili beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan sebuah parti politik dari daerah itu hari ini membuat laporan polis terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mengganggugugat kestabilan negara.

Laporan dibuat oleh Ketua Setiausahanya, Mohd Mustafa Latiff di Balai Polis Batu 6, Gombak pada pukul 10.35 pagi ini.

Barisan itu antara lain diwakili Umno Bahagian Gombak, Majlis Belia Daerah Gombak, Rukun Tetangga Gombak Setia dan Persatuan Silat Cekak Malaysia cawangan Gombal.

Mohd Mustafa yang ditemui pemberita selepas itu berkata, mereka membuat laporan polis untuk mendesak polis dan kerajaan agar menjalankan siasatan terhadap Anwar yang didakwa mereka telah mewujudkan pelbagai prasangka negatif rakyat terhadap kepimpinan kerajaan.

"Kami membuat laporan ini supaya polis dapat menjalankan siasatan yang sewajarnya ke atas beliau.

"Ini kerana kepimpinan Anwar bukan sahaja menganggu gugat kestabilan negara tetapi juga mengelirukan pemikiran rakyat dengan beberapa kenyataannya seperti isu Anggota Parlimen BN (Barisan Nasional) yang keluar parti... sedangkan perkara itu adalah tidak benar.

"Beliau (Anwar) seharusnya disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana kenyataannya telah menimbulkan keresahan di kalangan rakyat terutamanya berhubung isu mengambil alih kerajaan," katanya kepada pemberita di pekarangan balai polis itu di sini hari ini.

Terdahulu terdapat juga dakwaan mengenai pelabur asing yang menarik balik pelaburan di negara ini berikutan dakwaan Anwar, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, kononnya akan mengambil alih kerajaan daripada BN.

Seramai 20 anggota Barisan Bertindak Gombak berkumpul di hadapan balai polis itu sejak pukul 10 pagi ini bagi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap tindaktanduk Anwar sebagai pemimpin.

Mereka turut membawa kain rentang yang tertulis "Anwar Ibrahim pengacau Negara, Rakyat dan Pembohong Besar" serta "Tangkap Anwar Ibrahim".

Sementara itu, di SEREMBAN, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan dakwaan Anwar yang mempunyai senarai nama anggota Parlimen BN yang telah menyertai partinya sebagai muslihat semata-mata.

Beliau berkata, kalau benar sudah tentu Anwar sudah berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan kerajaan.

"Kalau betul sudah ada perundingan di antara Anwar dengan Perdana Menteri, mengapa nak buat kenyataan pada media asing... sepatutnya, panggil sahaja wartawan tempatan ke Parlimen dan buat kenyataan serta dedahkan senarai nama itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco hari ini.

Mohamad yang melabelkan Anwar sebagai "tukang karut" disebabkan kegagalan ketua pembangkang itu untuk mengambil alih kerajaan pada 16 September lepas seperti yang disasarkan, yakin jika senarai nama itu ditunjukkan kepada Yang di-Pertuan Agong, baginda akan menyiasat perkara itu untuk membolehkan pertukaran kerajaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain