suria

Najib batal lawatan kerja ke Amerika

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak membatalkan lawatan kerja selama tujuh hari ke Amerika Syarikat (AS) yang sepatutnya bermula esok.

"Adalah dimaklumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri tidak akan mengadakan lawatan kerja ke Amerika Syarikat dari 25 September hingga 1 Oktober seperti yang dijadualkan sebelum ini," kata kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri petang ini.

Menurut kenyataan itu, pembatalan lawatan kerja telah dipersetuji oleh Perdana Menteri.

Minggu lalu Najib menangguhkan lawatan kerja tiga hari ke Arab Saudi.

Khamis lalu, Najib menjelaskan bahawa beliau menangguhkan lawatannya ke Arab Saudi disebabkan beliau perlu menyusun semula jadualnya bagi membolehkannya memulakan tugas sebagai Menteri Kewangan semalam.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri berkata, penangguhan itu tidak ada kena mengena dengan senario politik dalam negara.

Kenyataan hari ini menjelaskan, keputusan itu diambil ekoran ekonomi di peringkat antarabangsa yang menuntut perhatian Timbalan Perdana Menteri untuk menjamin keadaan ekonomi negara terus kukuh.

Menurut kenyataan itu lagi, pelantikan beliau sebagai Menteri Kewangan berkuat kuasa 17 September lalu memerlukan masa untuk mendapatkan segala taklimat mengenai perkembangan semasa ekonomi negara daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kewangan.

Ekoran pembatalan tersebut, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang kini berada di AS akan mewakili negara di sesi ke-63 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selaku Ketua Delegasi Malaysia.

Seterusnya beliau akan menyampaikan ucaptama pada 27 September, kata kenyataan itu lagi.

Antara lain ucapan tersebut akan menyentuh mengenai pendirian Malaysia dalam beberapa isu khususnya yang menjurus kepada kedaulatan negara, krisis makanan dan masalah lanun.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain