suria

Isteri Pengerusi Gerakan Pulau Pinang pula disamun

PULAU PINANG: Kira-kira 24 jam selepas isteri seorang bekas wakil rakyat terbunuh dalam kejadian samun, isteri Pengerusi Gerakan Pulau Pinang pula disamun dua lelaki yang menaiki motosikal di perkarangan rumahnya di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku pada kirakira pukul 8.30 malam ketika Chan Lee Lee, 48, baru pulang daripada menghantar anak mereka di sebuah pusat tuisyen berhampiran rumah mereka.

"Semasa isteri saya sedang memandu masuk ke pekarangan rumah, tiba-tiba seorang lelaki turut meluru masuk ketika pintu pagar sedang terbuka," kata Datuk Teng Hock Nan ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mendakwa lelaki terbabit bertindak memecahkan cermin kiri kereta dengan seketul batu dan mengambil beg tangan yang mengandungi sejumlah wang tunai, telefon bimbit, dokumen pengenalan diri dan beberapa dokumen lain sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal bersama rakannya yang menunggu di luar pagar rumah.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan isteri bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tambun, Thor Joo Lee, 44, semalam.

"Siasatan lanjut sedang dilakukan dan polis akan meningkatkan rondaan di kawasan yang kerap berlaku jenayah," katanya.

Mengenai kes pembunuhan Thor, Ayub berkata, pihaknya telah mendapat beberapa maklumat yang dijangka dapat membantu polis mengenal pasti dan menjejaki mereka yang terlibat.

"Kes itu serius dan kita akan cuba selesaikan secepat mungkin. Kami juga sudah lihat CCTV di kedai minyak milik mereka, bagaimanapun tiada apa-apa yang mencurigakan," katanya yang enggan mengulas lanjut maklumat yang diperolehnya itu.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 11.40 malam semalam, Thor mati selepas ditikam di pekarangan rumahnya selepas pulang dari stesen minyak miliknya di Simpang Ampat dekat sini.

Mengenai rompakan enam jongkong emas bernilai lebih RM800,000 di tempat meletak kereta Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas Ahad lepas, Ayub berkata, polis telah memanggil beberapa saksi kejadian bagi membantu siasatan.

Rompakan pada kira-kira pukul 10.30 pagi itu dipercayai dilakukan tiga lelaki rakyat Vietnam yang bersenjatakan pistol dan ketika kejadian, pemilik kedai emas yang berumur 40-an itu ke lapangan terbang berkenaan untuk menjemput pembekal emasnya yang baru tiba dari Dubai. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain