suria

ISA: Ancam keselamatan alasan Raja Petra ditahan 2 tahun

ISTERI Raja Petra Kamarudin, Marina Lee Abdullah dan anak mereka ketika tiba di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam untuk mendengar permohonan habeas corpus. - foto The Star oleh AZHAR MAHFOF
ISTERI Raja Petra Kamarudin, Marina Lee Abdullah dan anak mereka ketika tiba di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam untuk mendengar permohonan habeas corpus. - foto The Star oleh AZHAR MAHFOF
ISTERI Raja Petra Kamarudin, Marina Lee Abdullah dan anak mereka ketika tiba di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam untuk mendengar permohonan habeas corpus. - foto The Star oleh AZHAR MAHFOF

PETALING JAYA: Pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang ditahan 12 September lalu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dihantar ke Pusat Tahanan Kamunting di Taiping untuk tahanan selama dua tahun.

Arahan tahanan dikeluarkan malam kelmarin, kata peguam-peguamnya pagi ini.

Ia turut disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

"Sah, kerana dia mengancam keselamatan dan ketenteraman awam melalui penulisan dan blognya dengan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad," kata beliau ketika dihubungi mStar Online semalam.

Ulasan Menteri:

Ketika ditemui pemberita di Rantau Panjang semalam, Syed Hamid berkata: "Semalam (kelmarin), saya telah menandatangani penahanan Raja Petra untuk dua tahun ke Kamunting setelah berpuas hati dengan alasan yang cukup untuk menahannya."

Syed Hamid berkata, penahanan Raja Petra itu berasaskan kepada penulisannya yang mempunyai unsur menghina dan boleh membangkitkan kemarahan umat Islam.

"Oleh itu pihak polis telah mencadangkan dan membaca kertas asas dan oleh itu kita mempunyai alasan kukuh untuk terus menahan Raja Petra bagi tempoh itu," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan akan membuat kajian pertamanya iaitu tiga bulan pertama untuk melihat sikap Raja Petra ketika ditahan.

"Selepas itu kita membuat semakan untuk enam bulan berikutnya sama ada Raja Petra boleh dibebaskan atau tidak," katanya.

Beliau meminta masyarakat memahami kenapa kerajaan bertindak menggunakan ISA kerana apa yang lebih penting adalah menjadikan mereka sebagai masyarakat yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara.

Menurutnya ketika ini beliau juga belum menerima manamana syor untuk membebaskan manamana tahanan ISA yang lain.

"Kalau ada syor untuk membebaskan tahanan ISA yang lain saya akan lihat kerana yang lebih penting mereka akan berubah dan boleh kembali dan samasama membangunkan negara," katanya.

Permohonan habeas corpus bagi pembebasan Raja Petra didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Raja Petra memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi pada 16 September lalu agar beliau dibebaskan daripada ditahan mengikut ISA.

Ini adalah kali kedua Raja Petra ditahan di bawah ISA.

Beliau pertama kali ditahan pada April 2001 kerana penglibatannya dalam gerakan reformasi dan ditahan selama 53 hari di Pusat Tahanan Kamunting.

Raja Petra merupakan antara tiga orang yang ditahan di bawah ISA pada 12 September lalu.

Dua yang lain ialah Exco Kerajaan Selangor, Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh dan pemberita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng.

Kedua-dua mereka telah pun dibebaskan.

Prosiding di mahkamah

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Abdul Wahab Mohamad berkata bahawa oleh kerana Raja Petra tidak lagi ditahan mengikut Seksyen 73(1) ISA, permohonan habeas corpus beliau agar dibebaskan daripada tahanan tidak lagi terpakai.

"Hujah kami ialah bahawa sebarang isu yang timbul sebelum perintah penahanan itu dibuat tidak tertakluk kepada inkuiri kehakiman," katanya dalam bantahan awal terhadap permohonan habeas corpus oleh Raja Petra agar dia dibebaskan daripada tahanan mengikut ISA dengan alasan penahanan itu tidak sah dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Abdul Wahab berkata bahawa dengan adanya perintah tahanan yang baru itu mengikut Seksyen 8(1) akta itu, penahanan Raja Petra tidak lagi di bawah pertimbangan Ketua Polis Negara seperti yang dinyatakan dalam notis permohonan yang dikemukakan pada 16 September.

Mengikut Seksyen 73(1), pihak polis boleh menahan seseorang dalam tempoh 60 hari untuk menjalankan siasatan dan membuat perakuan kepada Menteri Dalam Negeri bagi mengeluarkan perintah tahanan.

Peguam penulis blog itu, Malik Imtiaz Sarwar memberitahu mahkamah bahawa beliau baru sahaja mendapat tahu mengenai penahanan anak guamnya itu di Kamunting.

"Permohonan kami jelas mempunyai kaitan dan membabitkan kebebasan beliau (Raja Petra) seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya. Hakim Suraya Othman menetapkan 28 Oktober bagi kedua-dua pihak membuat penghujahan lanjutan sebelum mahkamah membuat keputusan sama ada akan mendengar permohonan habeas corpus itu.

Berhubung permohonan habeas corpus oleh Kok di mahkamah yang sama, Suraya berkata, mahkamah tidak dapat membuat pengadilan kerana keadaan sudah berubah.

Katanya, mahkamah terikat kepada keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa ia tidak boleh membuat teguran kerana perkara itu sudah tidak lagi terpakai, dan pemohon mempunyai ruang lain seperti tindakan sivil berhubung isu itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain