suria

Susu tercemar: Pemeriksaan menyeluruh di seluruh negara

BENTONG: Kementerian Kesihatan akan melakukan pemeriksaan secara menyeluruh terhadap kedai-kedai dan pasar raya di negara ini yang menjual barangan berasaskan susu yang diimport dari China.

Menterinya, Datuk Liow Tiong Lai berkata pemeriksaan itu bagi memastikan semua produk yang mengunakan susu itu tidak dicemari bahan kimia "melamine" yang sebelum ini dikesan terkandung dalam produk susu yang diimport dari China.

"Sama ada ia susu sepenuhnya, atau apaapa jenis makanan seperti biskut yang mengandungi susu dari China akan diperiksa dan diambil sampel bagi Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.

"Kerjasama daripada pemborong, pengguna dan pihakpihak berkaitan dalam hal ini diperlukan. Kami sangat prihatin dengan kesihatan pengguna dan kita tidak mahu ia menyebabkan kematian," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Hari Raya kepada golongan miskin di sini, hari ini.

Liow berkata, kerajaan sangat serius dalam isu kandungan "melamine" di dalam produkproduk makanan tenusu yang didapati membahayakan kesihatan pengguna.

Beliau berkata tiada tempoh masa ditetapkan untuk pemeriksaan itu dijalankan.

"Kajian pihak kesihatan Singapura baru-baru ini juga mendapati melamine turut terkandung dalam sejenis gulagula berjenama "White Rabbit Creamy Candy".

"Jadi kementerian kesihatan perlu memastikan selain susu bayi, produk lain yang berasaskan susu seperti biskut dan sebagainya tidak tercemar dengan bahan kimia tersebut," katanya.

Pad 20 September lepas, akhbar melaporkan Kementerian Kesihatan telah menempatkan pegawainya di semua enam pintu masuk utama negara ini bagi memastikan pematuhan larangan mengimport produk susu dari China dipatuhi sepenuhnya.

Liow yang dipetik berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur untuk menolak atau merampas apa juga produk tenusu dari China yang dibawa masuk bagi mengelakkan kemudaratan kepada kanak-kanak di negara ini akibat dicemari bahan kimia melamine itu.

Melamine, bahan kimia indusri yang digunakan untuk membuat plastik dan baja, adalah kaya dengan nitrogen dan apabila dicampur di dalam susu, boleh menjadikan tahap protein lebih tinggi daripada yang sepatutnya.

Ia diharamkan untuk pengeluaran bahan makanan

Liow yang juga anggota Parlimen Bentong berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam apa jua hal membabitkan kesihatan rakyat dan akan memastikan semua produk makanan di negara ini selamat. BERNAMA

Artikel Lain