suria

Sompong dilantik Menteri Luar baru Thailand

BANGKOK: Menteri Kehakiman dan ahli politik veteran, Sompong Amornwiwat bakal menerajui kepimpinan Kementerian Luar dalam Kabinet baru Perdana Menteri Somchai Wongsawat.

Timbalan ketua parti pemerintah, Parti Kuasa Rakyat (PPP), memberitahu pemberita hari ini Somchai telah meminta beliau untuk menjadi Menteri Luar dalam Kabinet baru itu yang kini menunggu perkenan Raja.

Sompong, 67, seorang daripada pemimpin tertinggi bagi menggantikan Perdana Menteri Samak Sundaravej yang dilucutkan jawatan oleh Mahkamah Perlembagaan pada 9 September, berkata beliau bersedia menjawat jawatan itu yang sebelum ini disandang oleh bekas diplomat Tej Bunnag.

Pengesahan Sompong hari ini turut menolak desas-desus oleh media bahawa bekas Perdana Menteri, Chavalit Yongchaiyudh atau bekas duta ke Perancis, Saroj Chavanaviraj dicalonkan oleh Samak bagi menggantikan Tej tetapi tersisih selepas pengunduran Samak.

Para pegawai Thai berkata Sompong, anak kelahiran bandar raya utara Chiangmai, lebih disukai berbanding diplomat lain berikutan hubungan rapat parti itu dengan Perdana Menteri yang disingkirkan Thaksin Shinawatra.

"Dalam kerajaan Thaksin sebelum ini sehinggalah beliau disingkirkan semasa rampasan kuasa pada 2006, partinya tidak begitu memberi perhatian kepada Kementerian Luar.

"Namun sekarang mereka memerlukan seorang ahli politik yang bertanggungjawab ke atas kementerian itu memandangkan terdapat banyak isu membabitkan Thaksin, hidupnya dalam buangan di luar negara dan pasport diplomatiknya," menurut satu sumber kerajaan.

Tanggungjawab segera Sompong adalah untuk meredakan ketegangan di sempadan dengan Kemboja, selain bertanggungjawab dalam persediaan negara itu untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Asean pada Disember.

Somchai, adik ipar Thaksin, berkata senarai barisan Kabinet telah pun siap, termasuk pencalonan daripada lima parti lain dalam kerajaan campuran.

Bekas hakim itu juga dijangka turut menyandang jawatan Menteri Pertahanan.

Kabinet baru itu dijangka mengetengahkan beberapa muka baru, termasuk bagi jawatan Menteri Kewangan di mana Timbalan Menteri Kewangan sekarang, Suchart Thadathamrongvech berkemungkinan menggantikan Setiausaha Agung PPP Surapong Suebwonglee yang enggan dilantik semula ekoran satu kes mahkamah yang sedang berjalan.

Suchart adalah ketua Puea Thai, sebuah parti yang ditubuhkan barubaru ini dengan matlamat menyerapkan Anggota Parlimen daripada PPP sekiranya parti itu dibubarkan ekoran penipuan pilihan raya.

Artikel Lain