suria

Pelajar mati selepas pengsan di tandas sekolah

MELAKA: Seorang kanak-kanak Tahun Dua Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina Pay Fong 2, di sini ditemui pengsan dalam bilik air sekolah itu hari ini sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 30 minit kemudian.

Yap Li Xuen, 8, disahkan mati dipercayai akibat kesukaran bernafas selepas ditemui pengsan dalam tandas itu oleh seorang pekerja pencuci tandas.

Guru Besar sekolah, Ng Nai Tak, 55, berkata, dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, pelajar berkenaan meminta kebenaran daripada gurunya untuk pergi ke tandas.

"Tidak lama selepas itu, tukang cuci tandas yang kebetulan berada di situ terdengar bunyi seakan-akan benda terjatuh dan memanggil pengawal keselamatan sekolah untuk memeriksanya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sekolah.

Beliau berkata mungkin kerana mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku, pengawal sekolah bertindak memecahkan pintu tandas dan melihat mangsa sudah pengsan tetapi masih bernafas. Difahamkan, pelajar itu kemudian dibawa ke kawasan lapang di dalam bangunan sekolah untuk mendapatkan rawatan kecemasan daripada doktor sebuah hospital swasta yang tiba di tempat kejadian, bagaimanapun dia gagal diselamatkan.

Ng berkata, kejadian itu kali ketiga menimpa Li Xuen yang merupakan antara murid yang pendiam tetapi mempunyai rekod pelajaran yang cemerlang.

"Kali pertama dia pengsan ialah pada April lalu ketika kelas pendidikan jasmani tetapi sempat diselamatkan rakannya yang menyedari kejadian pada ketika itu," katanya.

Bapa Li Xuen, Yap Choh Yu, 42, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, anak kedua daripada tiga anaknya itu tidak menunjukkan tanda-tanda sakit pada pagi kejadian walaupun menghidap penyakit lelah yang tidak kronik. BERNAMA

Artikel Lain