suria

Hishammuddin: Jangan sekadar retorik sokong pelan peralihan

PUTRAJAYA: Semua Badan Perhubungan Umno negeri perlu memastikan sokongan masing-masing kepada pelan peralihan kuasa bukan sekadar retorik, kata Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata semua pihak boleh menyatakan pendirian masing-masing tetapi perlu memastikan sokongan itu mampu diterjemahkan ke peringkat akar umbi.

"Saya bimbang kalau kita masih lagi terus meluahkan sokongan tetapi esok atau kemudian pula kata tidak sokong, ini akan menyebabkan parti terjejas.

"Saya menyarankan kepada yang meluahkan sokongan itu, jangan hanya retorik sahaja kerana orang yang di bawah sana bukanlah mereka yang tak faham politik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Katalog Malaysia ke Frankfurt Book Fair 2008 The Malaysian Story Told Through Our Books terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Badan Perhubungan Negeri Kelantan dan Pulau Pinang yang menyokong pelan peralihan kuasa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun 2010.

"Pucuk pimpinan parti hanya boleh bagi saranan, panduan atau syor tetapi suka tak suka, mereka kena akur dengan kehendak dan sentimen di bawah. BERNAMA

Artikel Lain