suria

Muhammad Taib sifatkan dakwaan Teresa tentang makanan semasa ditahan adalah angkuh

SUNGAI BESAR: Dakwaan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim bahawa makanan yang dihidangkan kepadanya semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai "lebih baik sedikit daripada makanan anjing" berunsur angkuh dan menghina, kata Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah berkata kenyataan seperti itu tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang ahli politik seperti Teresa yang dibimbangi boleh menyentuh sensitiviti orang lain yang kurang berkemampuan terutama orang miskin.

"Kita harap ahli politik tak boleh angkuh sebab sekiranya kita angkuh kita boleh sentuh sensitiviti orang lain kerana ada orang lain yang miskin makanannya lebih teruk lagi.

"Bila kita dah dapat makanan yang baik dan ikut prosedur, itu sudah kira baik berbanding sesetengah orang yang hanya makan nasi dengan garam sahaja," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 71 penduduk kampung di Sungai Panjang di sini, yang rumah mereka rosak teruk akibat dilanda ribut semalam.

Teresa pada 19 Sept lepas, selepas dibebaskan daripada tahanan ISA berkata beliau dihidangkan dengan makanan bermutu rendah, yang lebih baik sedikit daripada makanan anjing sepanjang ditahan.

Teresa yang juga anggota exco kerajaan negeri Selangor mendakwa bahawa beliau hanya diberi makan dua biji telur rebus, timun dan kuah dua kali sehari iaitu bagi makan tengah hari dan makan malam.

Muhammad berkata mana-mana pihak yang ditahan di bawah ISA akan melalui layanan yang sama tidak kira sama ada mereka pemimpin dari Barisan Nasional atau parti pembangkang seperti DAP, PAS dan Pasti Keadilan Rakyat (PKR). BERNAMA

Artikel Lain