suria

Ku Li tidak gusar perkembangan dalam Umno

KUALA LUMPUR: Tengku Razaleigh Hamzah langsung tidak gusar tentang sebarang perkembangan dalam Umno - sama ada peralihan kuasa antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak berlaku awal atau sebaliknya.

Bekas Naib Presiden itu yakin mendapat cukup pencalonan untuk bertanding bagi jawatan presiden Umno disember depan.

Pada Tengku Razaleigh, apa pun berlaku atau tidak berlaku pada 9 Oktober depan seperti yang diuar-uarkan oleh banyak pihak tidak menjejaskan kedudukan beliau sebagai pencabar jawatan Presiden kerana kekuatan beliau terletak pada kelebihan yang ada pada diri sendiri dan tidak pada faktor luaran.

"Latar belakang saya bersih. Sepanjang bersama Umno saya tidak ada sebarang masalah peribadi. Kerana itu saya adalah opsyen terbaik untuk memulih dan mencari penyelesaian kepada pelbagai masalah yang kini dihadapi Umno," kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang ini.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog dengan pengamal media tradisional dan alternatif di kediamannya sebelum berbuka puasa semalam.

Dalam dialog lebih sejam itu Tengku Razaleigh menjawab pelbagai bentuk soalan, daripada peluang beliau dalam merebut jawatan nombor satu Umno, masalah ekonomi masa kini, kepincangan kerajaan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kemungkinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memenuhi impian menjadi Perdana Menteri.

"Untuk menjadi seorang pemimpin, seseorang mesti boleh mengangkat muka dengan penuh integriti. Dengan masalah politik wang yang sangat berleluasa sekarang, tidak ramai di dalam Umno yang benar-benar boleh buat begitu.

"Pemimpin Umno masa kini seolah-olah hidup dalam kepompong masing-masing, tidak sedar bahawa parti telah hilang sokongan bukan sahaja daripada orang ramai, malah daripada ahli parti sendiri," tambahnya.

Jika berjaya menerajui Umno, Tengku Razaleigh berjanji beliau akan menjadikan Umno sebuah parti yang lebih demokratik untuk semua Melayu dan Bumiputera dan tidak akan menyekat sesiapa untuk bertanding.

Selain tidak demokratik, Tengku Razaleigh berkata, satu lagi masalah besar di dalam Umno yang mesti dibersihkan segera jika parti itu mahu terus menjadi peneraju kerajaan ialah masalah politik wang.

Masalah itu, katanya, kini menular dengan teruk dalam Umno.

"Saya tahu ini berlaku. Malah orang-orang saya pun telah ditawar wang. Saya telah arahkan mereka agar mengumpul bukti yang cukup agar perkara ini boleh dilaporkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti.

"Saya mahu bukan sahaja ejen-ejen yang menawarkan wang diambil tindakan, tetapi juga pemimpin sebenar dibelakang amalan ini diambil tindakan supaya mereka hilang kelayakan bertanding," katanya.

Tengku Razaleigh berkata, beliau sedar ada pihak-pihak yang ingin mempergunakan beliau untuk mengukuhkan peluang masing-masing dalam pertandingan parti Disember ini berikutan kenyataan terbuka beliau bertanding jawatan Pesiden Umno.

"Saya tidak lemah. Hanya pemimpin lemah mudah dibeli atau dipergunakan. Saya tidak sekali-kali akan benarkan ini berlaku pada saya," tegasnya sambil mendakwa mendapat sokongan kuat dari kalangan ahli akar umbi.

Menurutnya, dalam megambil tindakan terhadap masalah politik wang juga Umno mempunyai tiga atau empat standard yang berbeza untuk golongan yang berbeza.

Standard berbeza digunakan untuk aduan-aduan yang dibuat terhadap pemimpin tertentu dan yang lain digunakan untuk pihak lain dalam Umno.

"Kerana itu, aduan politik wang dan salah guna kuasa pihak tertentu tidak langsung disiasat oleh Umno," tegasnya.

Artikel Lain