suria

Teng Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, tewaskan Setiausaha Agung

PULAU PINANG: Datuk Dr. Teng Hock Nan, yang memenangi jawatan Pengerusi Gerakan Negeri Pulau Pinang hari ini, berikrar akan meneruskan kesinambungan tugas dalam parti dengan memberi keutamaan kepada tanggungjawab menyatupadukan anggota parti tanpa mengira had umur.

Teng menang jawatan itu pada persidangan perwakilan negeri kali ini dengan memperoleh 166 undi setelah menewaskan dua lagi calon iaitu Setiausaha Agung, Gerakan Datuk Seri Chia Kwang Chye (156) dan Ketua bahagian Bukit Gelugor Cheang Chee Gooi (21).

Dalam sidang akhbar yang diadakan selepas pengumuman kemenangannya oleh Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Teng berkata beliau menganggap setiap anggota dalam Gerakan adalah aset bernilai berdasarkan sokongan yang diberikan.

"Walaupun selepas pilihan raya umum lepas, Gerakan mengalami kekalahan yang teruk tetapi para penyokong dan anggota yang lain tetap memberi sokongan kepada perjuangan parti.

"Mereka adalah aset bernilai yang sangat penting kepada parti, maka jadi tanggungjawab saya untuk terus menyatupadukan semua anggota," katanya.

Teng berkata, sebagai menghargai sokongan yang diberikan itu, Gerakan akan merangka pelbagai program bersesuaian bagi memantapkan lagi keanggotaan dalam parti.

"Kita akan melatih semula semua anggota sebagai persediaan untuk menjadi barisan pemimpin pelapis dalam parti," katanya.

Mengulas mengenai proses pemilihan kali ini, Koh berkata, semuanya berjalan lancar dan setiap anggota menunjukkan disiplin serta kerjasama yang baik.

Selain itu, Koh berkata, beliau yakin Gerakan Pulau Pinang bersatu hati dan bersatu padu untuk membina semula parti bagi menghadapi cabaran penting pada masa akan datang. BERNAMA

Artikel Sebelum

UPKO cadang ISA dikaji semula

Artikel Berikut

Anwar 'main wayang' - Rais

Artikel Lain