suria

MIC ulangi gesaan bebaskan 5 pemimpin Hindraf

KUALA LUMPUR: MIC sekali lagi meminta kerajaan membebaskan dengan segera lima pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 13 Disember lalu.

Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini berkata, R. Kengadharan, 41; M.Manoharan, 47; V. Ganabatirau, 35; P. Uthayakumar, 47, dan K. Vasantha Kumar, 35, sepatutnya dibebaskan tanpa sebarang syarat.

Katanya, mereka telah ditahan selama hampir sembilan bulan dan kini "sampailah masanya mereka dibebaskan, memandangkan mereka tidak lagi mengancam keselamatan negara."

"Kerajaan tidak sepatutnya menahan mereka lebih lama kerana tindakan ini akan menambah kebencian masyarakat India terhadap kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Samy Vellu berkata, hukuman yang dikenakan terhadap lima pemimpin Hindraf itu tidak sepadan dengan tindakan mereka.

Mereka sekadar menyuarakan masalah dan rasa kecewa masyarakat India. Sebenarnya, tindakan begini telah dilakukan oleh MIC sejak beberapa dekad lepas... jadi kenapa mereka perlu terus ditahan? katanya.

Samy Vellu berkata, banyak penyokong tegar Barisan Nasional(BN) daripada masyarakat India telah mengundi pembangkang pada pilihan raya umum lepas kerana berpendapat lima pemimpin Hindraf itu telah ditahan secara tidak adil.

"Bukan kerana mereka sukakan pembangkang atau inginkan perubahan, tapi kerana mereka ingin melepaskan rasa marah terhadap kerajaan (BN)," katanya.

Samy Vellu berkata, BN boleh mendapatkan semula sokongan golongan itu sekiranya lima pemimpin Hindraf terbabit dibebaskan.

"Saya telah banyak kali meminta Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi)membebaskan mereka dan membawa perkara ini dalam dua mesyuarat Dewan Tertinggi BN," katanya sambil menambah bahawa beliau akan menimbulkan perkara itu sekali lagi dalam pertemuannya dengan Abdullah tidak lama lagi.

Artikel Sebelum

UPKO cadang ISA dikaji semula

Artikel Berikut

Anwar 'main wayang' - Rais

Artikel Lain