suria

DAP syor sidang khas Parlimen 29 September

KUALA LUMPUR: DAP mengakui langkah Pakatan Rakyat mengharapkan sidang khas Parlimen Selasa ini "sangat mustahil", lebih-lebih lagi selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menolak permintaan pembangkang itu pada hari yang sama Khamis lalu.

Sambil melahirkan hakikat itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini mengesyorkan agar sidang khas Parlimen diadakan 29 September.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan sama ada 29 September boleh dianggap sebagai tarikh akhir yang baru bagi merealisasikan hasrat Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan.

"Saya mengesyorkan agar permintaan Anwar supaya diadakan mesyuarat khas Parlimen dibincangkan di Kabinet Rabu ini dan diluluskan agar kita boleh mengadakan sidang khas pada 29 September," katanya di sini.

Pada Khamis lalu, Abdullah menolak cadangan untuk diadakan sidang khas Parlimen seperti yang digesa Anwar, yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.

"Saya tidak nampak apa perlunya untuk diadakan, sebab Parlimen akan kembali bersidang tak lama lagi selepas habisnya bulan Ramadan.

"Jadi gunakan masa itu untuk buat apa pun," kata Abdullah.

Anwar mahu satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membolehkan pembangkang membuat usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Menurut Lim, sidang khas berkenaan boleh menentukan sama ada Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional (BN) yang mempunyai majoriti di Parlimen.

Katanya, Pakatan Rakyat akan menerima hakikat jika BN membuktikan ia benar-benar mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk kekal berkuasa.

"Jika Pakatan mempunyai majoriti (anggota Dewan Rakyat), maka saya meminta Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara aman dan demokratik menerima Anwar sebagai Perdana Menteri yang baru," kata Lim.

Lim menambah, Pakatan Rakyat mahu perkara tersebut diselesaikan secepat yang mungkin sebelum Aidilfitri dan tidak perlu menunggu sehingga Parlimen bersidang pada 13 Oktober ini.

Artikel Sebelum

UPKO cadang ISA dikaji semula

Artikel Berikut

Anwar 'main wayang' - Rais

Artikel Lain