suria

Penulis blog "Kickdefella" dibebaskan petang ini

SYED Azidi Syed Aziz menunjukkan tanda "bagus" selepas dibebaskan dari tahanan reman di Jabatan Siasatan Jenayah, Kompleks Pejabat Kerajaan, Bukit perdana, Kuala Lumpur hari ini. Syed Azidi dibebaskan selepas ditahan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Akta Hasutan berhubung satu artikel dalam blognya. Syed Azidi menerusi blognya pernah mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan agar bendera dikibarkan secara terbalik ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan negara baru-baru ini. -fotoBERNAMA
SYED Azidi Syed Aziz menunjukkan tanda

KUALA LUMPUR: Penulis blog "Kickdefella", Syed Azidi Syed Aziz yang ditahan reman untuk siasatan kes hasutan, dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

Dia dibebaskan pukul 4.30 petang tadi.

Beliau dipercayai ditahan ekoran membuat cadangan di laman blognya agar bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik semasa menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Syed Azidi, 38, yang ditemani Ketua Dewan Pemuda PAS yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai, Sallehuddin Ayob dan peguamnya, Amrit Pal Singh dilihat meninggalkan Kompleks Kerajaan Bukit Perdana di sini pada pukul 4.15 petang selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Beliau akan dipanggil semula oleh polis pada 17 Oktober depan.

Syed Azidi yang mengadakan sidang akhbar di rumah kakaknya di Bukit Persekutuan di sini kemudiannya berkata, sepanjang beliau ditahan, beliau dilayan dengan baik oleh pegawai dan anggota polis.

"Tidak timbul sebarang pertelingkahan atau perasaan tidak puas hati sepanjang saya ditahan. Saya dijaga dengan baik malah apa yang saya minta untuk keperluan saya diberikan," katanya.

Menurutnya, sepanjang beliau ditahan, tidak ada sebarang kenyataan diambil ke atas dirinya sebaliknya hanya kenyataan berhubung latar belakangnya.

"Tidak ada sebarang kenyataan diambil dan saya telah memberi sepenuh kerjasama. Saya rasa saya bukan ditahan kerana memberi cadangan supaya bendera dipasang secara terbalik..." katanya dipetik Bernama.

Syed Azidi turut mengumumkan penarikan diri sebagai ahli Umno Kelantan hari ini.

"Walaupun saya bekerja dengan kerajaan PAS negeri hampir setahun setengah tetapi saya masih ahli Umno. Hari ini saya nak umum penarikan diri saya sebagai ahli Umno.

"Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana ambil berat mengenai kes saya ini," katanya.

Semalam Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas Syed Azidi sehingga 5 petang ini.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Fadzlin Suraya Mohd Suah.

Syed Azidi, Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan, ditahan di rumahnya di Demit, Kota Bahru mengikut Akta Hasutan pada 17 September.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain