SEREMBAN: Hubungan di antara kaum di negara ini bukan senang-senang boleh dikawal dengan undang-undang kerana ia perlu diurus dengan memastikan perasaan semula jadi."Pada keseluruhannya semua kaum berasa puas hati dan semuanya merasakan pandangan mereka telah diambil kira dengan baik. "Namun akar umbinya ialah kita kena pastikan rakyat daripada segi sikap, pandangan dan apa yang mereka nampak cara kita mentadbir negara ini adalah betul-betul seimbang, adil dan sebagainya," kata Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting."Kalau daripada aspek ini tidak diurus dengan baik, berapa banyak undang-undang digubal pun, ia tidak akan berkesan," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas Akta Hubungan Kaum yang akan diwujudkan oleh kerajaan.Beliau sebelum itu merasmikan perhimpunan agung MCA Negeri Sembilan 2008 di sini, hari ini.Sambil menjelaskan bahawa apa yang dinyatakan adalah pandangan peribadinya, Ong berkata: "Saya tak kata setuju atau tidak setuju dengan akta itu. Kita nak tengok apa dia dulu kerana masih terlalu awal kita cakap sekarang.""Kita kena sentiasa peka pada suara dan perasaan rakyat. Tidak boleh hanya setuju saja dengan apa-apa yang telah diputuskan oleh sesetengah pihak di mana apabila nampaknya dia sudah tidak dilayan dengan baik, baru kata ini adalah dasar Barisan Nasional (BN)."Kalau betul-betul dasar BN, ia mestilah sesuatu yang dibincang dan ada persetujuan setelah mengambil kira masyarakat berbilang kaum di negara ini," katanya.Ong berkata, semangat setiakawan dalam BN adalah jika sesuatu keputusan itu dibuat secara bersama setelah dipersetujui maka anggota BN hendaklah sama-sama mempertahankannya."Kalau sesuatu itu tidak diketahui oleh parti MCA terlebih dahulu, maka saya anggap ia tidak adil untuk kita pada bila-bila masa menggunakan perkataan kesetiakawanan."Kalau betul-betul ada kerakanan yang tulen, pada bila-bila masa pun apabila sesuatu keputusan itu sebelum dibuat, ia kena ada perbincangan... itu dikatakan kongsi kuasa dan itu dikatakan semangat BN," katanya.Ditanya ada atau tidak perkara yang dibincangkan tanpa pengetahuan MCA, Ong berkata, kadang-kadang ada juga sesuatu dilakukan tanpa pengetahuan parti itu. BERNAMA