suria

Tan: SAPP tak ambil kira pandangan akar umbi buat keputusan keluar BN

SANDAKAN: Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP)Datuk Raymond Tan Shu Kiah berkata keputusan parti itu keluar dari Barisan Nasional (BN) dibuat oleh pucuk pimpinan tanpa mengambil kira pendirian anggota akar umbi.

Menurutnya pandangan itu telah beliau perjelaskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP pada Rabu lepas tetapi pucuk pimpinan parti tidak mempedulikannya dan terus membuat keputusan untuk keluar dari BN.

"Segala keputusan melibatkan parti bukan sahaja perlu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi tetapi adalah penting untuk kita mengetahui maklum balas daripada ahli parti di peringkat akar umbi.

"Ini bukan satu keputusan yang kecil kerana kesannya tidak hanya melibatkan pemimpin yang ada dalam Majlis Tertinggi tapi kepada semua," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Sandakan setibanya dari Kota Kinabalu hari ini yang disambut lebih 200 orang penyokongnya.

Tan bersama Ketua Pemuda SAPP Au Kam Wah dan Naib Presiden SAPP Jimmy Wong adalah ahli Majlis Tertinggi SAPP yang menentang keputusan parti untuk keluar dari BN. Semalam Au dan Wong mengumumkan keputusan mereka untuk keluar SAPP.

Tan, yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Papat, berkata beliau lebih memikirkan nasib ahli parti terutama mereka yang memegang jawatan di peringkat cawangan dan bahagian serta yang bekerja di pejabat parti.

"Ada antara ahli ini bergantung kepada pendapatan dengan bekerja dalam parti," katanya.

Menurut beliau, ada antara mereka ini bimbang terutama dalam membuat persediaan menyambut Hari Raya Puasa.

"Mereka (Majlis Tertinggi) tidak memikirkan keputusan yang mereka buat itu akan memberi kesusahan kepada ahli di peringkat akar umbi," kata Tan.

Katanya dalam mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP pada Rabu lepas, beliau meminta mereka menangguhkan keputusan untuk keluar dari BN sehingga BN Pusat mengadakan mesyuarat bagi membincangkan surat tunjuk sebab yang diberikan kepada parti berhubung usul tidak percaya yang hendak dibawa oleh parti itu terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Tetapi Presiden parti (Datuk Yong Teck Lee) dan ahli Majlis Tertinggi yang lain tidak bersetuju dan mereka membuat keputusan keluar dari BN dengan cepat sekali tanpa mengambil kira kesan yang berlaku dari keputusan itu," katanya.BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain