suria

Orang ramai diminta semak SMS dengan polis

IPOH: Orang ramai dinasihat supaya mendapatkan pengesahan daripada polis jika menerima SMS yang diragui kebenarannya mengenai keadaan politik, ekonomi atau keselamatan bagi mengelak timbulnya keresahan di kalangan masyarakat.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata polis tidak akan teragak-agak menahan mana-mana individu yang terlibat menyebar SMS palsu dan "nakal" yang boleh menimbulkan suasana kalut dan tegang kepada masyarakat.

Beliau berkata, adalah lebih baik jika mereka yang menerima SMS seumpama itu menyemak semula sejauh mana kebenarannya melalui talian Rakan Cop.

"Kita tidak mahu penduduk di negeri ini hidup di dalam suasana ketegangan dan keresahan sehingga keadaan kelihatan tidak selamat," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka bersama 167 anak yatim warga polis di Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak di sini malam tadi.

Zulkifli berkata, walaupun SMS palsu masih belum begitu berleluasa, polis akan mengambil tindakan tegas membendungnya kerana ia turut membabitkan isu sensitif seperti perkauman. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain