suria

Malaysia ambil mekanisme tahap keenam sekat produk mengandungi melamin dari China

KUALA LUMPUR: Malaysia telah mengambil mekanisme tahap keenam untuk menyekat sebarang produk dari China yang mengandungi bahan kimia melamin masuk ke negara ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, ini disebabkan baru-baru ini terdapat susu tepung dari China yang mengandungi bahan tercemar itu telah menyebabkan beberapa kes kematian bayi di China.

"Saya menegaskan Malaysia telah mengambil langkah peringkat keenam untuk menyekat kemasukan produk-produk itu ke negara kita dan juga tidak membawa produk-produk tersebut daripada China,"

"Dengan menggunakan mekanisme itu, semua kemasukan produk tenusu dari China di enam pintu masuk seluruh di negara akan dihentikan serta merta dan dipulangkan.

"Di Malaysia kita mempunyai enam pintu masuk dan semuanya diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, sebarang produk berkenaan yang datang melalui pintu masuk itu akan ditahan dan dipulangkan...ia dipanggil 'waspada tahap enam' di semua pintu masuk," katanya selepas menghadiri penutupan Persidangan Menteri Kesihatan Asia Pasifik mengenai Perubahan Iklim dan Kesihatan hari ini.

Liow berkata, persidangan selama dua hari itu telah membincangkan beberapa langkah untuk menangani masalah perubahan iklim di rantau Asia Pasifik.

Katanya, beberapa matlamat telah dikenalpastikan dalam beberapa bidang.

"Terdapat lima matlamat yang telah dikenalpasti iaitu pertama, kerja pencegahan penyakit berjangkit; kedua, peningkatan pengeluaran makanan; ketiga, memberi lebih perhatian kepada isu pemanasan global; keempat, keperluan sumber kewangan untuk meningkatkan sektor kesihatan dan yang akhir sekali adalah memberi perhatian kepada isu peningkatan aras air akibat perubahan iklim," ujar beliau.

Liow menyatakan antara cadangan yang telah dicadangkan untuk menyelesaikan masalah perubahan iklim yang tidak menentu.

"Kita perlu mengutamakan kesihatan dalam perubahan iklim serta membina kapasiti untuk memberi perhatian terhadap impak kesihatan akibat daripada perubahan iklim," jelasnya.

Berhubung persediaan beliau untuk bertanding jawatan Naib Presiden MCA pada 18 Oktober ini, Liow enggan mengulas lanjut.

"Saya akan ceritakan dalam ceramah saya di Terengganu petang nanti," katanya.

Liow akan berhadapan dengan tiga lagi pemimpin MCA untuk merebut jawatan tersebut iaitu Ketua Wanita MCA, Datuk Dr Ng Yen Yen, Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chor Chee Heung, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Kong Cho Ha dan Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai.

Artikel Berikut

Artikel Lain