suria

Kerajaan cadang wujud Unit DNA di dua negeri

KUCHING: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bercadang mewujudkan lebih banyak Unit DNA di bawah Jabatan Kimia berikutan peranan forensik sains yang kini semakin penting dan kritikal dalam aspek penyelesaian pelbagai kes jenayah.

Timbalan Menteri berkenaan Fadillah Yusoff berkata setakat ini unit itu hanya ada di Kuala Lumpur dan Kuching manakala Unit DNA di Pulau Pinang dijangka mula beroperasi hujung tahun ini.

"Kita mengkaji kemungkinan mewujudkan unit itu di Kota Kinabalu dan pantai timur di Semenanjung," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada 10 orang kakitangan Jabatan Kimia negeri hari ini.

Fadillah berkata langkah itu adalah sebagai persediaan awal Jabatan Kimia yang akan menjadi antara agensi penting apabila rang undang-undang Indentifikasi DNA 2008 dilulus dan dikuatkuasakan.

Beliau berkata dari segi kepakaran dalam bidang itu Jabatan Kimia mempunyai 17 pakar DNA dan lebih 30 kakitangan sokongan yang bertugas dalam unitunit itu.

Mengenai pembelian kapsul Soyuz, beliau berkata kerajaan belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Ketua Pengarah Jabatan Kimia N.Hithaya Jeevan berkata satu lagi pejabat Jabatan Kimia akan di buka di Sibu, Sarawak menjelang hujung tahun ini.

Jabatan Kimia di Sarawak kini mempunyai dua pejabat iaitu di Kuching dan Bintulu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain