suria

Sesiapa saja boleh tanding kerusi Presiden - Tee Keat

KUALA LUMPUR: Calon presiden parti MCA, Datuk Ong Tee Keat berkata sesiapa sahaja yang merasakan mereka mampu memikul tanggungjawab sebagai presiden parti boleh bertanding pada pemilihan parti itu, bulan depan.

Sehingga tiba hari penamaan calon, katanya barulah sah berapa calon yang akan bertanding untuk sesuatu jawatan.

"Setakat ini, yang saya tahu hanya saya dan bekas menteri kesihatan, Datuk Dr Chua Jui Meng sahaja yang akan bertanding jawatan presiden, tetapi jika ada lagi yang berminat, tampillah.

"Ramai atau sedikit calon yang bertanding juga tidak mencerminkan perpecahan dalam parti kerana jika itu berlaku, parti berkenaan memang dengan sendirinya tidak teguh dan rapuh," katanya pada sidang media selepas majlis penghargaan program peluang pendidikan swasta di Bandar Utama dekat sini, hari ini.

Ketika ditanya peluangnya sebagai Menteri Kabinet untuk memenangi kerusi presiden, Ong berkata itu bukan ukuran.

Walaupun beliau mempunyai semua jentera yang perlu untuk meraih undi, beliau tidak pernah menggunakan kesempatan yang ada sebaliknya melakukan sendiri dengan berjumpa anggota parti di peringkat akar umbi.

Ong juga menegaskan walaupun semakin sibuk dengan kempen parti, tetapi ia sedikitpun tidak melekakan beliau akan tugasnya sebagai menteri.

Mengulas tindakan Parti Progresif Sabah (SAPP) mengisytiharkan keluar daripada Barisan Nasional (BN), Ong berkata: "Kita memang kesal dengan keputusan itu. Bagaimanapun tindakan itu adalah keputusan parti berkenaan dan bukannya keputusan BN.

"Saya rasa, bagi rakyat Sabah yang paling penting adalah masa depan negeri mereka dan masa depan Malaysia, bukannya permainan politik semasa," katanya.

Ong berkata, SAPP yang membuat keputusan untuk keluar BN pastinya mempunyai alasan tersendiri untuk mengambil tindakan sedemikian.

"Ini negara demokrasi, maksud demokrasi adalah wujudnya kepelbagaian minda, ada yang kita setuju dan ada yang kita tidak setuju," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain