suria

"Mereka kata Anwar pembohong, tapi saya tak gila"

KUALA LUMPUR: "Mereka kata Anwar pembohong, tapi saya tak gila."

Demikian reaksi Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini apabila ditanya lagi butiran mengenai senarai ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang dikatakan telah bersetuju untuk beralih ke Pakatan Rakyat bagi membolehkan kerajaan baru persekutuan dibentuk.

Hari ini beliau berkata, seramai 35 Ahli Parlimen BN telah menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Kelmarin - pada 16 September - Anwar yang dikatakan bakal mengumumkan senarai Ahli Parlimen BN yang sedia melompat parti berkata, beliau sudah ada bilangan wakil rakyat yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Anwar yang turut diminta memperkenalkan semua Ahli Parlimen seperti yang didakwanya mencukupi untuk membentuk kerajaan, terus merahsiakan maklumat tersebut atas alasan keselamatan.

"Kami ada senarainya, saya dah kata nak tunjukkan kepada Perdana Menteri nanti.

"Lagi pun ahli-ahli Parlimen berkenaan yang meminta saya agar tidak umumkan dulu sehingga masanya sesuai kerana bimbang akan keselamatan (mereka)," katanya.

Pada sidang media kelmarin, Anwar tidak mengumumkan senarai nama Ahli Parlimen yang bakal melompat parti itu.

Sebaliknya kata Anwar, beliau bersedia dan hanya akan mengumumkan nama-nama Ahli Parlimen BN kepada Abdullah terlebih dahulu.

"Sebaik sahaja jumpa Perdana Menteri, kita akan patuh mengikut Perlembagaan termasuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong," kata beliau.

Bagaimanapun pada hari yang sama Abdullah menolak permintaan Anwar itu.

Anwar juga menyelar tuduhan kasar Perdana Menteri semalam yang mendakwa beliau merupakan ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara.

"Nampaknya Perdana Menteri tidak faham kandungan surat itu.

"Saya tulis untuk berbincang mengenai masalah kestabilan negara dan arah tuju politik," katanya.

"Saya guna bahasa yang sopan, tidak pula saya nak kata untuk adakan perbincangan bagi gulingkan beliau dan kerajaannya," katanya dengan sinis apabila ditanya mengenai pandangan Abdullah bahawa Anwar merupakan ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain