suria

Tiada MP utara Sarawak berminat lompat parti

MIRI: Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang hari ini menyangkal dakwaan Pakatan Rakyat kononnya sejumlah anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) di Sarawak akan menyertainya.

Beliau berkata, oleh kerana semua 30 Ahli Parlimen BN di Sarawak telah menyatakan kesetiaan mereka kepada parti pemerintah dan pucuk pimpinan sedia ada, tiada sebab untuk rakyat mempercayai dakwaan itu.

"Tiada siapa (daripada Pakatan Rakyat) menghubungi saya dan mereka tidak akan berbuat demikian kerana saya secara terbuka telah menyatakan kesetiaan saya kepada Barisan Nasional dan pucuk pimpinan sedia ada," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya bagi dirinya, tiada anggota Parlimen BN di Sarawak berminat untuk menyertai Pakatan Rakyat dan apa juga dakwaan yang dibuat oleh pembangkang hanya merupakan gimik politik.

Malahan jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan tanpa pembabitan anggota Parlimen BN Sarawak, ia akan menjadi sebuah pentadbiran yang lemah kerana ia tidak mempunyai cukup pengetahuan dan pengalaman untuk mentadbir negara, katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lawas Henry Sum Agong menganggap dakwaan lompat parti itu sebagai "cerita lama yang telah tamat tempoh."

Beliau berkata Pakatan Rakyat sepatutnya menghentikan perbuatan membuat dakwaan seperti itu kerana ia bukan sahaja mencemarkan maruah anggota Parlimen dari Sarawak tetapi juga menjejaskan imej Malaysia.

Taktik yang digunakan oleh pembangkang itu merupakan permainan politik yang menggambarkan anggota Parlimen sebagai satu komoditi dan memperlekehkan amanah rakyat secara menyeluruh, katanya.

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing melabelkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai "penipu" bagi cakapcakap kosongnya untuk membentuk kerajaan.

Katanya, Anwar tidak bersikap telus dan demokrasi apabila enggan mendedahkan senarai nama mereka yang didakwanya akan berpaling tadah menyertai Pakatan Rakyat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain