suria

Terengganu bincang royalti minyak dengan Kementerian Kewangan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu telah menghantar tiga pegawai tertinggi untuk berbincang dengan Kementerian Kewangan berhubung beberapa masalah teknikal yang belum selesai mengenai tuntutan wang royalti minyak negeri ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata dalam pertemuan itu semalam, kerajaan Terengganu diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mokhtar Nong, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Mazlan Ngah dan Penasihat Undang-undang Negeri Mohamed Sekeri Mamat.

"Perjumpaan itu adalah bagi menyelesaikan beberapa masalah teknikal termasuk mendapatkan maklumat mengenai perbelanjaan melalui projek yang dilaksanakan serta baki yang ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis khatam Program Pintar alQuran Kanak-Kanak Tadika peringkat negeri di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak dekat sini hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad berkata tarikh sebenar kerajaan negeri akan memperoleh wang royalti itu belum dapat diumumkan walaupun sebelum ini, ia dikatakan akan dibayar pada bulan ini.

"Saya akan beritahu bila sampai masanya. Kita ada sedikit masalah teknikal yang kini dalam proses untuk diselesaikan," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan telah memperoleh majoriti kerusi untuk membentuk kerajaan baru, Ahmad berkata tindakan Ketua Pembangkang itu merupakan satu pembohongan dengan cuba memperbodohkan rakyat negara ini.

Beliau berkata bukannya mudah untuk menubuhkan kerajaan dan menjadi Perdana Menteri dalam parti yang berbeza.

"Saya sendiri pun bukannya senang menjadi Menteri Besar walaupun dalam parti yang sama," katanya dalam nada berseloroh. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain