suria

Soi Lek tanding jawatan Timbalan Presiden MCA

PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Dr. Chua Soi Lek akan bersaing merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu bulan depan.

"Saya berterima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan saya yang memberi sokongan kepada saya untuk bertanding semula. Mereka sokong saya terus berkhidmat untuk politik lebih-lebih lagi saya mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam politik.

"Sudah 10 bulan saya letak jawatan semua jawatan saya di kerajaan dan parti. Hari ini, saya bermula dari akar umbi untuk bertanding hinggalah ke pusat." katanya.

Dr. Chua berhadapan dengan saingan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ong Ka Chuan bagi jawatan nombor dua MCA itu.

"Ka Chuan adalah kawan baik saya. Beliau juga mempunyai banyak pengalaman dalam negeri. Biarlah perwakilan yang membuat pilihan tetapi dengan sokongan perwakilan yang ada saya yakin saya boleh menang," katanya.

Beliau menyatakan pengalaman serta kekananan merupakan unsur yang penting untuk berunding dengan pemimpin-pemimpin Umno yang lain di dalam Kabinet.

Selain itu, beliau berkata, sebagai seorang pemimpin adalah perlu untuk memahami masalah akar umbi dan isu-isu semasa dan MCA perlu mempunyai pendirian yang jelas dalam merundingkan sesuatu masalah dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

"Saya berpendapat hala tuju dan model yang lama MCA perlu disemak semula dan membuat perubahan. Kita perlu meneliti semua isu-isu yang berkaitan dengan rakyat," katanya.

Apabila ditanya sama ada akan bertanding secara berpasukan bersama Datuk Chua Jui Meng yang merebut jawatan Presiden, beliau berkata: "Kita tidak sepatutnya berbincang tentang soal berpasukan, kita sepatutnya bekerjasama untuk memulihkan semangat MCA."

Bagaimanapun Dr. Chua berkata akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai manifesto yang sama dengan beliau, bukannya berunsurkan keperibadian.

"Setakat ini, hanya saya yang mengeluarkan manifesto. Ong dan Chua masih belum mengeluarkan manifesto mereka. Saya akan rujuk manifesto mereka dan tengok manifesto siapakah yang sama dengan saya, maka saya akan sokong siapa. Kita tidak boleh sokong seseorang tanpa merujuk kepada manifesto mereka," katanya.

Tema manifesto Dr. Chua ialah "Keberanian yang tulen, politik tulen. MCA sebagai kuasa baru".

Apabila ditanya sama ada isu seks akan membawa kesan kepada beliau kali ini, beliau berkata: "Kesan itu memang ada."

"Perkara itu akan dibawa keluar semula untuk memburuk-burukkan saya tetapi itu merupakan palsu. Saya berasa lega setakat ini tiada siapa yang mempertikaikan kaliber, pengalaman serta kepimpinan saya."

Dr. Chua juga menafikan SMS yang mengatakan anaknya Chua Tee Yong, Ahli Parlimen Labis, telah memasuki Pakatan Rakyat.

"Itu tidak benar, dia (Tee Yong) ada dekat sini kamu tanyalah dia. Saya tetap akan setia kepada MCA, ini merupakan parti yang saya akan berkhidmat," katanya.

Beliau sangsi kenyataan terdapat seramai 31 orang Anggota Parlimen yang akan melompat parti ke PR yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

"Jika kata kita akan menghadapi peralihan kuasa, maka semalam sudah berubah kerajaan. Jika teruskan memainkan permainan politik maka rakyat akan bosan," ujar Dr Chua.

Artikel Sebelum

Artikel Lain