suria

Siasatan Jawatankuasa Disiplin PKR terhadap Zulkifli tidak selesai hingga Aidilfitri

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Syed Husin Ali berkata, siasatan terhadap Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berhubung pembabitannya menghalang forum `Masuk Islam: Artikel 121(1A)' anjuran Majlis Peguam pada 9 Ogos lalu tidak akan selesai sehingga Aidilfitri ini.

Bagaimanapun beliau berkata, Jawatankuasa Disiplin yang diketuainya sudah mendengar keterangan Zulkifli berhubung kes terbabit.

"Keterangannya sudah kita dapat, tapi Jawatankuasa Disiplin masih belum buat apa-apa keputusan mengenai tindakan yang boleh dikenakan terhadapnya," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Jelas beliau, kelewatan siasatan kes tersebut adalah disebabkan faktor masa yang tidak mengizinkan.

"Bukan kita sengaja lengahkan, ada banyak kes lain yang perlu kita selesaikan juga. Selain itu beliau (Zulkifli) juga akan pergi menunaikan umrah dalam tempoh terdekat," katanya.

Tambah beliau, proses siasatan perlu melalui beberapa peringkat sebelum Majlis Pimpinan Tertinggi PKR memutuskan sebarang tindakan.

Selepas Jawatankuasa Disiplin selesai menjalankan siasatan, laporannya akan diserahkan kepada Biro Politik untuk meneliti laporan tersebut.

"Biro Politik akan tentukan sama ada mahu menerima ataupun penyiasatan perlu dilanjutkan oleh Lembaga Displin parti yang dianggotai oleh badan bebas," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain