suria

Khairy tawar diri tanding Ketua Pemuda Umno

KHAIRY Jamaluddin ketika mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno di Rembau hari ini. - foto The Star oleh LOW BOON TAT
KHAIRY Jamaluddin ketika mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno di Rembau hari ini. - foto The Star oleh LOW BOON TAT
KHAIRY Jamaluddin ketika mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno di Rembau hari ini. - foto The Star oleh LOW BOON TAT

REMBAU: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin hari ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Khairy yang juga Naib Ketua pergerakan itu berkata, perkara tersebut diputuskan selepas beliau meninjau pendapat akar umbi dan mendapati terdapat permintaan untuk beliau bertanding jawatan berkenaan.

"Pendek kata, setelah saya turun ke bawah dan berbincang dari hati ke hati dengan akar umbi saya pohon agar mereka beri pencalonan pada saya sebagai Ketua Pemuda UMNO," katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri penyokongnya di Pusat Khidmat Masyarakat Rembau hari ini.

Katanya, tugas untuk mengambil alih Pemuda UMNO hari ini bukan mudah kerana Ketua yang baru harus mampu meneruskan kesinambungan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang telah menyatukan Pemuda selepas berlaku perpecahan dalam tahun 1998 dahulu.

Bagaimanapun, Khairy akur bahawa lawannya yang terdiri daripada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo; Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin merupakan calon-calon yang cukup berkaliber dan berpengalaman.

"Mereka ini lebih senior dan tua daripada saya tetapi saya lihat sebenarnya Pemuda UMNO boleh buat pilihan yang baik di antara calon-calon yang berwibawa dan berpengalaman kerana ia akan memperkukuhkan pergerakan itu," katanya.

Khairy berkata, beliau tidak mahu melaung-laungkan perubahan yang hendak dibawa tetapi merancang terlebih dahulu agar ia tidak menjadi retorik.

Khairy berkata, jika dipilih, beliau akan membawa tiga agenda utama yang berteraskan semangat setiakawan iaitu memperkasa hubungan Pemuda UMNO di peringkat cawangan dan bahagian, mengerat hubungan di antara sayap Pemuda dengan komponen Barisan Nasional (BN) yang lain dan menjalin hubungan dengan kumpulan pemuda dalam kesatuan, pertubuhan bukan kerajaan dan perkhidmatan awam bagi menunjukkan pergerakan itu bukan satu badan eksklusif dan ia terbuka kepada semua.

Katanya, beliau yakin mendapat sokongan daripada anggota pergerakan itu dan juga Pemuda komponen BN yang lain. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain