suria

Antara sandiwara dan kredibiliti Anwar tunai pelan Pakatan

PETALING JAYA: Rata-rata penganalisis politik masih percaya dengan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim punya jumlah ahli Parlimen Barisan Nasional yang cukup untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baru.

Hari ini Anwar berkata nama-nama ahli Parlimen Barisan Nasional yang akan melompat parti menyertai mereka tidak dapat didedahkan atas sebab keselamatan.

Menurut pensyarah Sains Politik Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain walaupun Anwar tidak mengumumkannya hari ini, rakyat masih menaruh kepercayaan beliau akan berjaya membentuk kerajaan dalam masa terdekat.

“Anwar berjaya menimbulkan keadaan kelam-kabut dan rakyat yang terpengaruh dengan beliau akan tertunggu-tunggu tarikh pengumuman itu akan dibuat,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Jelasnya, walaupun di atas kertas apa yang diperkatakan Ketua Pembangkang itu mungkin tidak nampak tapi ia tidak mustahil akan berlaku.

“Jika kita lihat atas kertas mungkin payah untuk berlaku. Tapi kita tidak dapat baca hati ahli-ahli Parlimen yang akan menyeberang,” katanya.

Tambah beliau, mengikut logik akal Anwar tidak perlu mengumumkan perkara tersebut kepada media sebaliknya beliau perlu melaksanakan perancangannya untuk membentuk kerajaan secepat mungkin bagi mengembalikan kenyakinan rakyat.

“Jika Anwar tidak dapat bentuk kerajaan baru dalam satu, dua hari ini kredibiliti dia sebagai Ketua Pembangkang akan jatuh,” ujarnya.

Menurut Dr. Ahmad, mungkin juga Anwar menggunakan peluang ini untuk bermain perang psikologi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar beliau meletakkan jawatannya.

“Mungkin ini satu taktik Anwar untuk menggesa Abdullah meletakkan jawatan, siapa tahu,” katanya.

Jelasnya, dalam politik tiada apa yang mustahil dan politik juga menghalalkan cara.

“Ini bermakud Anwar mungkin menggunakan semua taktik ini untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada,” katanya.

Dr. Ahmad berkata, Anwar akan menggunakan peluang yang ada untuk mencapai cita-cita politiknya.

“Tempat Pak Lah sekarang ini sepatutnya milik Anwar sepuluh tahun yang lalu. Jadi saya lihat dia (Anwar) punya agenda untuk mencapai cita-cita itu sekarang,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan sedia ada tidak mendapat sokongan majoriti daripada rakyat, menjadikan pembangkang punya ruang untuk menubuhkan kerajaan yang baru.

Namun demikian, Dr. Ahmad berkata beliau tidak percaya seratus peratus Anwar akan mampu untuk membentuk kerajaan dengan mengajak Ahli Parlimen BN melompat parti.

“Peluang untuk bentuk kerajaan saya sifatkan 50-50. Kita tidak boleh memperkecilkan kredibiliti Anwar. Cuma apa yang penting kerajaan BN jangan terlalu yakin dengan apa yang mereka miliki,” katanya.

Sementara itu, menurut pensyarah Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Ahmad Nizammuddin Sulaiman, tindakan Anwar tidak mengumumkan nama ahli-ahli Parlimen BN kerana mengambil ingin langkah berhati-hati.

“Anwar tidak mendedahkannya kerana mengambil langkah berhati-hati agar agenda yang dirancangnya berlangsung tanpa halangan,” katanya.

Nizammuddin berpendapat, dari sudut 'politiking' Anwar berbuat demikian kerana beliau yakin dan mampu memperoleh jumlah Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Menurut beliau, terdapat tiga cara yang boleh digunakan oleh Perdana Menteri untuk mengelakkan perkara tersebut berlaku. Namun setiap perkara punya risiko yang tersendiri.

“Pertama, Abdullah meletakkan jawatan secara sukarela. Kedua Perdana Menteri boleh membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya semula,” katanya.

Namun demikian, Nizammuddin berkata, pilihan kedua bakal mengudang padah kerana dengan keadaan politik semasa yang berlaku akan memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, menurut seorang Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, Prof Madya Dr. Mohd Agus Yusof, Anwar hanya sandiwara semata-mata.

“Saya yakin senarai itu tidak ada atau tidak wujud langsung. Kalau ada kenapa tak mahu dedahkan nama ahli-ahli Parlimen yang akan melompat,” katanya.

Jelasnya, Anwar tidak perlu berdolak-dalik dengan member pelbagai alasan.

“Yang penting kerajaan BN tidak perlu takut dengan Anwar dan tidak perlu terikut-ikut dengan permainan beliau,” katanya.

Menurut Agus, negara perlu mengubah cara berpolitik dan kembali kepada aspek membangunkan negara.

Bagi pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Prof Madya Dr. Ghazali Mahyuddin, beliau mahu mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Kita tunggu sahaja bila Anwar nak umumkan. Nak cakap sekarang pun tak boleh kerana kita tak tau siapa yang nak menyeberang,” katanya.

Jelasnya, semua pihak berhak membuat tafsiran dan ramalan tapi Anwar yakin dan tidak ragu-ragu dengan tindak-tanduknya.

“Anwar yakin dengan tindakannya dan beliau tidak ragu-ragu. Yang penting kita tunggu sehingga beliau umumkannya,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain