suria

Lemak manis nira kurma

KOTA BHARU: Percubaan seorang petani menanam 100 pokok kurma di Kampung Teras Binjai, Kedai Lalat, bukan sahaja berhasil mengeluarkan buah, malah dia sekeluarga turut dapat menikmati tuak atau nira pohon kurma yang dikatakan lebih enak daripada nira kelapa.

Mohd Zain Mohamed, 58, berkata, dia mula menanam pokok kurma kira-kira enam tahun lalu dan satu daripada pokok betina kini sedang lebat berbuah, manakala pohon jantan pula menghasilkan tuak.

“Air tuak ini berbeza. Kebanyakan tuak kurma, buah kurma yang direndam di dalam air, tetapi ini ada air tuak terus mengalir daripada dahan pohon kurma.

“Warnanya lebih kurang sama dengan nira kelapa, namun rasanya jauh lebih lemak dan manis,” katanya ketika ditemui di kebun kurmanya di sini.

Mohd Zain berkata, proses mengeluarkan nira daripada pohon kurma agak rumit dan memerlukan kudrat untuk memotong pelepah hingga ke bahagian dahan.

“Pada bahagian batang pohon kurma ini terdapat lapisan lembut berwarna putih dan perlu ditarah secara berhati-hati untuk mengeluarkan airnya.

Air nira atau tuak akan penuh sebotol selepas semalaman.

“Seeloknya pohon jantan yang berusia empat hingga lima tahun sudah boleh ditarah untuk mendapatkan tuak yang sangat enak,” katanya.

Menurutnya, dia mendapat idea menghasilkan tuak itu daripada pekerja ladang warga Bangladesh yang turut mengajarnya cara-cara mendapatkan air yang dipercayai mempunyai khasiat itu.

“Seperti yang kita semua tahu, kurma adalah makanan sunat dan buahnya mengandungi pelbagai khasiat. Saya percaya airnya juga sama, ada khasiat yang sangat baik sepertimana buah kurma.

“Sebab itu, sebaik penduduk tahu pokok saya ini menghasilkan tuak, ramai yang datang untuk membeli dan merasai sendiri keenakan serta khasiatnya, namun saya belum berhasrat menjualnya,” katanya.

Dia berkata, permintaan yang diperoleh terlalu tinggi, namun setakat ini pihaknya belum berkesempatan mengkomersialkan tuak pohon kurma berkenaan.

“Saya tidak mempunyai tenaga kerja, lebih-lebih lagi kini sedang berpuasa, tetapi mungkin selepas Ramadan saya akan lakukan kerja-kerja memungut tuak ini.

“Satu pohon boleh menghasilkan dalam 15 liter tuak secara keseluruhannya dan semalaman boleh dapat 1.5 liter.Kiranya banyak saya boleh jual,” katanya.-SinarHarian



kurma, tuak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain