suria

Ayam percik tanpa kacang rahsia bisnes kekal sejak 2007

JOHOR BAHRU: Keputusan Siti Nor Amiza dan suaminya untuk tidak menggunakan kacang tanah dalam sos ayam percik mereka ternyata tepat dan membuahkan hasil.

Siti, 32, berkata, ayam percik yang dijual di terminal bas Larkin Sentral itu laris terutamanya dalam kalangan warga seberang tambak.

"Kami dapati warga Singapura kurang gemar kacang tanah dalam sos ayam percik.

"Suami saya yang buat eksperimen. Sos itu masih mempunyai tekstur sama walaupun tidak dimasukkan kacang tanah," ujar ibu kepada tiga anak itu.

Mereka mula berniaga ayam percik sejak tahun 2007 dan separuh pelanggan mereka adalah rakyat Singapura.

"Pada kebiasaannya, orang Singapura ni, sekali beli lebih 10 ketul ayam percik.

"Ada dalam kalangan mereka pelanggan tetap saya. Malah, mereka akan hubungi saya dahulu untuk saya menyediakan dua dozen ayam percik untuk mereka," ujarnya lagi.

Menurut Siti, dia memerlukan 100 ekor ayam setiap hari dan jumlahnya akan bertambah di hujung minggu.

Selain ayam percik, hidangan tiga serangkai di kedainya turut mendapat sambutan ramai.

Ia terdiri daripada pulut kuning, ketupat atau lemang yang dijual bersama rendang daging dan floss ayam.

"Kami merupakan antara yang pertama menjualnya dalam bekas plastik di Johor dan pelanggan kami suka kerana ia memudahkan mereka.

Ayam percik dijual pada harga RM5 seketul dan hidangan set pula serendah RM6 sahaja.

Bazar dengan 24 gerai itu sering menjadi tumpuan kerana ia terletak berhampiran stesen teksi dan bas.

Ia mula dibuka bermula pukul 1.30 tengah hari sehingga Maghrib.





ayam percik, Larkin Sentral

Artikel Lain