suria

Belajar Daripada Kepayahan Hidup

Tan Sri Arshad Ayub

KUALA LUMPUR: "Benih yang disemai sudah bertunas, telah tumbuh menjadi pohon subur merimbun, dan mengeluarkan buah yang harum dan manis.

"Namun ia masih perlu dijaga, dibaja. Ada kalanya bila pokok besar anai-anai boleh datang. Tiba-tiba sahaja pokok boleh mati."

Kiasan ini diungkap Tan Sri Arshad Ayub dan ditujukan kepada Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM), 'menara gading' yang dianggap sebagai 'darah dagingnya.'

Beliau turut berharap agar UiTM yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Teknologi MARA memberi lebih perhatian kepada pelajar yang kurang menyerlah kerana mereka juga boleh cemerlang sekiraya ada bimbingan yang betuL.

Arshad bukan orang asing bagi institusi yang telah melahirkan ratusan ribu modal insan Melayu dan Bumiputera dalam pelbagai bidang profesional.

Kalau komennya pedas dan tajam, ini adalah kerana begitu sayangnya beliau terhadap institusi yang dinaik taraf kepada universiti pada 26 Ogos 1999.

Arshad dilantik pengarah pertama ITM pada tahun 1967 dan menyandang jawatan itu sehingga 1975. Beliau kini menyandang jawatan Pro Canselor,perlantikan yang dibuat sejak 31 Mac 2000.

Malah Arshad yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-88 pada 15 November diiktiraf sebagai 'arkitek' kecemerlangan ITM/UiTM pada tahun-tahun awal penubuhannya.

"Harapan saya pada masa akan datang, UiTM akan memberi lebih penekanan kepada profesionalisme dan keusahawanan," katanya dalam wawancara dengan Bernama di sini baru-baru ini.

AMANAH MAJUKAN ANAK BANGSA

Apabila ditanya pandangannya tentang kemajuan anak Melayu hari ini, Arshad yang juga dinobat sebagai Tokoh Merdeka 2013 pantas berkata maju mundur itu terletak kepada mereka yang dipertanggungjawabkan.

"Budak-budak ini macam buluh. Adakah buluh melentur diri sendiri? Pada siapa mereka hendak bersandar?

"Saya banyak kali bercakap tentang perkara ini ini. Bagi saya pensyarah jika mahu memajukan anak bangsa, mereka yang sudah diamanahkan mesti bersama-sama komited dan bersungguh melaksanakan amanah," jelasnya.

Arshad berpandangan ada pensyarah yang tidak komited 100 peratus.

"Apa yang berlaku sekarang tidak mencukupi. Mereka hanya beri 50 hingga 60 peratus sahaja. Ada yang hanya mahu membina kehebatan diri bukan kehebatan pelajar.

"Lantas kalau orang Melayu tak maju, hendak salahkan siapa? Takkan nak salah kerajaan. Salahkan diri sendiri. Kalau pensyarah tak berminat hendak majukan pelajar, macam mana pelajar itu hendak ada minat? Latih mereka, bukan letihkan mereka," tegas Arshad.

Dalam mengaitkan isu ini dengan UiTM, Arshad menggesa tenaga pensyarah gedung ilmu itu melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

"Jangan berputus asa. Teruskan menolak mereka ke depan. Ingat nama Majlis Amanah Rakyat. Perkataan amanah itu sendiri," kata Arshad yang turut mengulas tentang kelemahan graduan UiTM dalam bahasa Inggeris.

"Sebab bahasa Inggeris pensyarah pun tak bagus, macam mana bahasa Inggeris pelajar nak bagus. Masa saya Pengarah ITM, 95 peratus pensyarah bukan keturunan Melayu. Mereka mengajar pelbagai bidang," kata Arshad.

Pensyarah itu antaranya dari Perancis, Rusia, Kanada, Australia Volunteer Service dan US Service Peace Corps. Ada yang mengajar sehingga 10 tahun.

"Ada dua orang ahli lembaga pengarah ITM bukan Melayu iaitu Mark Gen (bapa beliau Sir Edward Gen, bekas Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu dan Tan Sri Wong Tock Chye," tambah beliau.

Bagi Arshad, graduan ITM sehingga 1980an adalah yang terbaik dari kedua-dua segi akademik dan profesionalisme kerana pendedahan kepada pensyarah bukaN Melayu.

"Benih yang kita semai betul-betul menjadi. Kalau nak kata Malaysia Boleh, MARA sudah buat dari dulu lagi.

"Bagaimanapun hari ini keadaan adalah sebaliknya. Hampir 95 peratus tenaga pensyarah adalah orang Melayu," katanya."

BELAJAR DARI KEPAYAHAN HIDUP

Melihat kepada kereta Mercedes berwarna hitam yang menjalar di depan ZA Studio, premis yang terletak di kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar milik Arshad serta taraf kehidupannya hari ini mungkin ada yang mendapati sukar untuk membayangkan kepayahan hidup yang dilaluinya sebelum ini.

Matanya kelihatan berkaca-kaca tatkala memberitahu penulis tentang keperitan hidup yang terpaksa dilaluinya ketika membesar di kampungnya di Muar, Johor.

Beliau masih ingat makan ubi kayu, itu pun sekali sehari dan apa sahaja yang ada semasa pemerintahan Jepun.

"Hidup susah. Selalu saya ingatkan anak dan cucu supaya belajar bersungguh-sungguh. Tidak ada jalan pintas untuk masa depan yang cerah. Saya beritahu mereka saya bernasib baik tetapi saya tak tahu jika mereka juga akan mempunyai nasib baik yang sama.

"Saya sering juga beritahu mereka, saya tak kisah apa yang berlaku kepada saya kerana saya bermula dengan tidak mempunyai apa-apa pun tetapi mereka semua tak akan boleh," kata Arshad.

Pendidikan awalnya di Muar iaitu di sekolah Melayu sebelum meneruskan persekolah di sekolah Inggeris kerajaan.

Arshad menggunakan perkataan "merempat" untuk mengkisahkan keperitan hidupnya yang sering menumpang makan dan tidur di rumah rakan. Antara rakan-rakannya itu, Ismail Abdullah dan Alias Majid.

Beliau yang terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira 4km untuk ke sekolah dan balik. Kadang kala menumpang basikal kawan, antaranya (Tan Sri) Jaafar Hussein dan juga basikal guru. Ada juga ketika naik kereta lembu.

Miskinnya hidup, Arshad hanya mempunyai sepasang pakaian sekolah. Beliau akan memakai pakaian yang sama sepanjang hari bersekolah.

"Hari Jumaat emak akan cuci," katanya.

Nama beliau pernah dibuang dari daftar sekolah kerana sebulan tidak hadir.

Menurut Arshad, beliau sakit demam kepialu dan tidak pun ke hospital.

"Kawan sekolah datang ke rumah dan beritahu nama saya sudah dibuang. Selepas melihat keadaan saya, kawan saya beritahu guru besar dan beliau setuju saya boleh balik ke sekolah dengan syarat saya dapatkan rawatan," katanya.

Arshad sembuh setelah dua minggu mendapat rawatan dengan bantuan ayah kawannya yang bekerja di hospital.

\

Tan Sri Arshad Ayub


KEMISKINAN TIDAK MENJADI PENGHALANG

"Saya anak orang miskin, saya hidup susah tetapi saya tak mudah putus asa," berkali-kali Arshad mengulangi kisah kemiskinan hidupnya.

Beliau juga pernah gagal semasa belajar di Singapura tetapi cemerlang kemudiannya dengan memperolehi 4A selepas mengambil semula peperiksaan School Certificate sebagai calon persendirian.

"Saya tahu di mana kelemahan saya. Saya lemah bahasa Inggeris. Saya dari kampung. Bila pergi ke Singapura, ramai pelajar dari sekolah yang hebat, termasuk Penang Free School dan Victoria Institution, " kata anak sulung dari lima beradik ini.

Keperitan hidup juga banyak mengajar Arshad supaya sentiasa berjimat. Semasa belajar di Wales, United Kingdom, sikap tidak boros membolehkan beliau membawa pulang kira-kira 400 Pound (sekitar RM3,400).

"Saya gunakan RM2,000 untuk beli sekeping tanah di Muar. Itu nilai pada tahun 1959. Saya sebenarnya berjanji dengan ibu saya bila saya ada wang saya akan belikan ibu saya sekeping tanah."

Menurut Arshad, ibunya terpaksa menjual satu-satunya keping tanah keluarga yang masih ada semata-mata untuk menyekolahkan saya dan adik-adik saya.

"Saya menitiskan air mata setiap kali teringat pengorbanan ibu. Bagi saya doa seorang ibu juga amat besar maknanya. Cuma saya terkilan saya tak dapat beri ibu rasa gaji pertama saya sebagai guru pelatih sebelum saya ke Singapura.

"Ibu meninggal dunia akibat penyakit tetanus (kejang urat/otot) ketika berusia 45 tahun. Ayah saya meninggal dunia sewaktu pemerintahan Jepun," kata Arshad.

GUNA PENGALAMAN PAHIT

Segala kesusahan hidup ketika bersekolah membulatkan tekad Arshad untuk memastikan anak-anak Melayu dan Bumiputera mendapat peluang belajar dengan sebaik-baiknya sewaktu beliau menyandang jawatan Pengarah ITM.

Beliau memang sedar mereka amat ketinggalan dalam bidang profesional terutama mereka dari kawasan luar bandar.

Ketegasan beliau untuk melonjak dan memertabatkan anak bangsa dalam bidang pendidikan ternyata berhasil.

Di sebalik hakikat pelajar yang diterima masuk ke ITM adalah pelajar yang lemah keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tidak terpilih ke institusi pengajian tinggi yang lain, Arshad masih percaya mereka boleh 'menjadi' jika diberi peluang dan bimbingan.

Beliau mengambil dirinya sebagai contoh. Menurut Arshad semasa mengikuti program Diploma Pertanian di Kolej Pertanian Serdang, beliau bernasib baik kerana mendapat tunjuk ajar dari pelajar-pelajar senior memandangkan beliau lemah subjek Sains.

Rasa terhutang budi sehingga masih ingat nama yang memberi tunjuk ajar. Tan Teng Lai mengajar fizik, Lai Chan Wa mengajar zoologi, Willian Sanky mengajar botani dan Wan Mohd Don mengajar Kimia. Kesemua mereka adalah pelajar tahun 3 dan disuruh pensyarah mengajar pelajar baru secara percuma.

"Pengajaran untuk saya apabila saya jadi Pengarah ITM, saya buat kursus yang membolehkan pelajar yang tak cemerlang sains boleh ambil kursus. Ini berpegang kepada kalau saya boleh buat mengapa mereka tidak boleh buat. Ada banyak cara kita membangun dan mendidik pelajar," katanya.

Pengalaman masuk estet getah dan melihat pengurus estet yang ada dari latar belakang tentera membuatkan Arshad kemudiannya memperkenalkan kursus Diploma in Plantation Industry Management.

"Bila saya ditugaskan di mana-mana tempat, saya akan perhatikan dan kemudiannya meletakkannya sebagai wawasan saya.

"Saya tanam benih yang Malaysia Boleh sebelum Tun Dr Mahathir kata Malaysia Boleh.

"Yang Malaysia Boleh itu bagi saya orang Melayu Boleh. Kita ambil pelajar yang kurang baik dan lihat sekarang UiTM muncul sebagai sebuah universiti. Ini menunjukkan orang Melayu Boleh," tambahnya.

MESTI CEMERLANG

Arshad juga mengingatkan pelajar yang terpilih ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) supaya mesti cemerlang serta memperolehi semua A.

Mereka tidak boleh bersikap "cukup makan", perlu ada sasaran yang tinggi dan mesti bersedia untuk bersaing di peringkat global.

Golongan pelajar juga perlu bijak berikhtiar jika menghadapi kesempitan wang.

"Janganlah sampai cerita tak makan keluar suratkhabar. Mereka mesti ada kawan. Macam saya dulu makan dan tumpang tidur rumah kawan. Itu yang saya katakan kalau kita ramai kawan kita tak akan lapar.

"Tengok pendatang asing. Macam mana mereka boleh hidup di negara kita.

Mereka berusaha. Keluarlah bekerja. Jangan tunggu disuap dan dihulur. Jangan terlalu bergantung kepada kerajaan. Sikap ini akan hanya melemahkan kita," tegas Arshad. 

ITM, UiTM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain