suria

Sembang Kedai Kopi, Lagi Kutuk Lagi Sedap - Bekas TKP SPRM

PETALING JAYA: Sembang 'kedai kopi' bagaikan virus yang mampu merebak pantas terutama apabila tajuk yang diperkatakan berkaitan  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Seri Zakaria Jaffar berkata, lebih menyedihkan apabila masyarakat hari ini lebih berminat untuk ‘melayan' persepsi berbanding berfikir mengenai peranan, cabaran dan bidang tugas SPRM serta mereka sendiri.

Katanya, situasi ini lebih dirasai pada masa sekarang apabila Internet dan media sosial begitu dekat dengan masyarakat.

“Bercerita lagi kutuk, lagi sedap.Bila bercakap seolah-olah mereka (masyarakat) tahu semua isu sampaikan saya sendiri terkejut.

“Bila ditanya macam mana mereka tahu semua, rupa-rupanya mereka dapat cerita masa duduk sembang di kedai-kedai kopi, lepas itu pergi buat cerita jadi viral…macam-macam analogi yang masyarakat buat,” katanya ketika sesi temubual khas mStar Online bersama beliau baru-baru ini.

Bersara selepas 33 tahun berkhidmat, Zakaria berkata, situasi ini menunjukkan masyarakat awam kini hanya mahu mengikuti perkembangan isu semasa, khususnya kes-kes yang disiasat SPRM untuk tujuan ‘kedai kopi’ semata-mata, bukannya mendapatkan fakta sebenar.

Tegasnya, ketika SPRM menjalankan siasatan terhadap sesuatu dakwaan rasuah, masyarakat seharusnya faham peranan agensi itu dan apa yang lebih penting mengetahui peranan mereka sebagai orang awam.

“SPRM hanya ada dua tugas iaitu siasat dan lapor kepada peguam kanan Persekutuan. Dalam membuat laporan dan perakuan, SPRM mesti berani bercakap kerana itulah integriti.

“Jika timbalan pendakwaraya atau peguam kanan Persekutuan kata tak ada kes atau pendakwaan, sepatutnya masyarakat tanya mereka, bukan tanya SPRM,” katanya.

Katanya, dalam menggalas tanggungjawab membanteras kes-kes rasuah di negara ini, kepercayaan dan keyakinan terhadap SPRM amat diharapkan.

“Patutnya masyarakat datang kepada kita untuk dedah kegiatan rasuah.Kalau terus nak sembang viral, tak mahu lapor, tak mahu jadi saksi, tak mahu beri maklumat, mereka sebenarnya tak buat apa-apa pun untuk halang rasuah.

“Lama-lama kapal pun tenggelam sebab orang yang buat rasuah bebas tebuk kapal kita,” katanya yang mengibaratkan Malaysia seperti sebuah kapal.

Bagaimanapun, beliau tidak sepenuhnya menyalahkan masyarakat sebaliknya berpendapat budaya menjadi faktor utama berlakunya keadaan seperti ini.

Dalam konteks ini beliau berkata, SPRM harus mempunyai pasukan yang kuat untuk meyakinkan masyarakat, sekali gus memberi kefahaman kepada mereka tentang peranan masing-masing.

“Orang ramai kena berani, tapi budaya dan mentaliti masyarakat kita tak sampai ke tahap itu lagi.

“SPRM sudah ada mekanisme untuk tujuan itu cuma kita perlu terus menggerakkannya,” katanya.

SPRM, Viral, Internet

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain