suria

Kenangan Mengusik Jiwa Di Teluk Intan

MENARA Jam Tinggi tetap megah berdiri ketika saya menelusuri jalan kenangan penuh nostalgia di bandar Teluk Intan, Perak baru-baru ini. Begitu juga monumen Batu Tenggek (gambar bawah) yang dibina untuk mengingati perajurit yang terkorban dalam Perang Dunia Kedua masih kukuh `bertenggek’ sebagai lambang abadi kepada mereka yang gugur mempertahankan tanah air.

Menelusuri  Teluk Intan menggamit kembali kenangan lama mengusik jiwa ketika zaman persekolahan menengah sekitar hujung tahun 60-an dan awal 70-an. Bandar ini yang jauhnya hampir 30 batu  (48 kilometer) dari kampung saya di Bagan Datoh,  adalah tempat  bagi saya dan kawan-kawan berkunjung untuk `makan angin’.

Teluk Intan adalah bandar terbesar yang paling hampir dengan kampung saya. Untuk ke sana, saya perlu keluar dari rumah di pedalaman kampung Tebuk Mukmin ke jalan raya utama Teluk Intan-Bagan Datoh untuk menaiki bas. Tambang bas pergi balik ialah RM1.20 sen. Jika naik teksi RM1 satu hala. Perkhidmatan bas dan teksi ini kini masih ada. Yang pasti tambangnya sahaja yang sudah tidak sama.

Tidak ramai yang tahu Teluk Intan diterokai pada awal abad ke-18 oleh seorang janda cantik berasal dari Mandailing, Sumatera, bernama Mak Intan. Susulan penerokaan itu, ramai yang berketurunan Jawa, Rawa, Mandailing, Minangkabau, Kampar dan kemudian India-Bombay datang mendiami kawasan tersebut. Kebanyakan mereka adalah petani dan pedagang.

Pada tahun 1882, nama Teluk Mak Intan telah ditukar kepada Teluk Anson sempena nama Jeneral Archibald Anson,  Gabenor Inggeris yang datang melawat pada waktu itu. Bagaimanapun 100 tahun kemudian iaitu pada 1982, namanya ditukar kembali kepada Teluk Intan. Ia merupakan bandar ketiga terbesar di Perak dan terbesar di Perak Selatan serta menjadi pusat pentadbiran Daerah Hilir Perak.

Menara Jam Tinggi masih menjadi tarikan utama pelancong ke Teluk Intan. Bangunan yang dibina tegak oleh arkitek bernama Leong Choon Cheong pada 1886 ini menjadi condong sedikit ke arah Barat Laut akibat banjir besar yang melanda Teluk Intan pada 1889 dan 1895, ditambah faktor tanah lembut dan bebanan tangki air di atas menara tersebut telah menyebabkan ia condong. Sebab itu ia juga dikenali sebagai Menara Condong.

Menara tersebut dibina dengan tujuan utama menjadi tempat simpanan air jika berlaku kemarau. Juga sebagai penanda waktu melalui jam besar yang dipasang di menara itu. Jam ini dibeli khas dari England. Tetap menara itu  kini tidak lagi berfungsi sebagai tempat simpanan air. Namun jam besarnya tetap berbunyi setiap 15 minit serta boleh kedengaran sehingga sejauh lima kilometer.

Satu lagi keistimewaan yang menjadi kebanggaan Teluk Intan ialah dahulu istana rasmi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perak terletak di sini. Raja Muda secara tradisinya bersemayam di Teluk Intan. Istana Raja Muda siap dibina pada 1922 dan Raja Muda yang pertama bersemayam di istana tersebut ialah DYTM Raja Muda Abdul Aziz yang kemudiannya menjadi Sultan Perak ke-31.

Namun kini ia hanya tinggal kenangan. Raja Muda Perak kini tidak lagi bersemayam di Teluk Intan. Raja Muda Perak terakhir bersemayam di istana Teluk Intan ialah DYTM Raja Ahmad Siffuddin ibni Almarhum Sultan Iskandar. Apabila baginda mangkat pada 1987, DYTM Raja Nazrin Shah (kini Paduka Seri Sultan Perak) bersemayam di Ipoh. Istana di Teluk Intan tinggal terbiar, rosak dan dipenuhi semak.

Melewati pawagam Rex dan Cathay yang kini sudah berubah menjadi cineplex, turut mengembalikan ingatan tempat saya dan kawan-kawan menonton filem-filem Melayu, khususnya ketika perayaan Hari Raya Aidilfitri. Setiap tahun, pada hari raya kedua, seawal pukul lapan pagi kami dalam satu kumpulan enam hingga lapan orang remaja sudah siap sedia menunggu bas untuk ke Teluk Intan.

Jika lambat, bas penuh kerana ramai yang berpusu-pusu ingin ke Teluk Intan dari kampung-kampung berhampiran di sekitar Bagan Datoh.

Cabaran besar ialah waktu membeli tiket wayang. Tidak ada disiplin seperti berbaris, sebaliknya siapa kuat dia berjaya meloloskan diri ke depan. Masing-masing berlawan kuat tangan untuk dihulurkan ke dalam lubang kaunter tiket yang kecil.  Orang yang terkuat dalam kumpulan kami diberi tugas membeli tiket.

Selepas bertolak-tolak dan tangan sakit berhimpit-himpit, tiket berjaya juga diperoleh.

Petualang besar ketika musim perayaan sebegini ialah ulat tiket. Mereka membeli banyak tiket dan menjual semula dengan harga yang berlipat ganda. Ramai yang membeli tiket gelap ini kerana malas untuk berebut-rebut dan bagi yang tidak bernasib baik apabila tiba di kaunter, tiket semua sudah habis terjual. Seingat saya, ketika itu tiket kelas ketiga 65 sen, kelas kedua 80 sen, kelas pertama RM1.00. Kelas khas yang lebih selesa pula RM1.40. Kerusinya papan, bukan kusyen empuk.

Biasanya kami menonton dua filem, masing-masing di Rex dan Cathay. Lepas keluar satu panggung masuk panggung satu lagi. Jika tak dapat tiket siang, kami menonton waktu malam.  Sebab itu hari raya kedua memang kami habiskan dari pagi sampai ke malam di Teluk Intan. Cuma perlu waspada jangan sampai tertinggal bas untuk kembali ke Bagan Datoh atau akibatnya tidur di masjid.  Bas kedua terakhir dari Teluk Intan ke Bagan Datoh ialah pada pukul 10 malam dan bas terakhir pukul 12.30 malam.

Selain Rex dan Cathay, ada satu lagi pawagam utama di Teluk Intan ketika itu iaitu Capitol. Tetapi ia biasanya menayangkan cerita-cerita Inggeris atau Mandarin. Sekali sekala pada hari raya ada juga ia menayangkan filem Hidustan.

Pawagam Rex juga menjadi kenangan kerana di sinilah buat kali pertama saya menonton filem Hindustan pada tahun 1971. Tahun itu saya menghadapi peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE). Ramai kawan memang peminat tegar filem Hindustan dan kerap mengajak serta  memujuk saya menonton bersama. Tetapi saya langsung tidak tertarik.

Akhirnya atas dasar ingin tahu saya pergi juga. Filem pertama yang saya tonton ialah `Pyar Ka Mausam’  (Musim Bercinta) dibintangi oleh Shashi Kapoor dan Asha Parekh.  Pertama kali menonton, saya jatuh hati.  Saya terpesona dengan ketampanan hero dan kecantikan heroin mereka. Terpesona dengan kemerduan lagu-lagu latar nyanyian Mohamad Rafi dan Lata Mangeshkar. Sejak itu, setiap kali ada filem Hindustan di Teluk Intan saya tidak akan terlepas menonton walaupun sibuk menghadapi LCE. Selepas lulus LCE saya meneruskan persekolahan di Kuala Lumpur.

Di hadapan pawagam Cathay ada sebuah restoran yang sangat popular ketika itu, Restoran Yusofia. Restoran ini menjadi tumpuan ramai menjamu selera. Pendek kata kalau ke Teluk Intan dan makan di Yusofia dikira hebat. Walau pun restoran ini masih wujud, ia sudah tidak seperti dahulu kerana persaingan daripada tempat-tempat makanan yang lain termasuk restoran makanan segera.

Bagi saya dan kawan-kawan tempat kegemaran kami makan ialah di kedai mamak `nasi lambai’ di tepi bandar berhampiran Sungai Perak. Ia dikenali `nasi lambai’ kerana pekerja-pekerja di situ memanggil dan melambai kepada mereka yang lalu lalang untuk makan. Itulah cara promosi mereka. “Mari Mat mari makan!”  Riuh suara mereka memanggil  sambil melambai. Semua yang lalu lalang mereka panggil dengan nama `Mat’, kebetulan kena dengan nama saya.

Ketika itu, nasi dengan seketul ikan, sedikit timun, sedikit sambal dan kuah harganya hanya sekitar 50 sen! Rasanya memang enak. Jika ayam atau daging harganya 80 sen hingga RM1.00. Air kosong percuma. Namun kedai lambai ini juga sudah hilang seri dan riuhnya. Banyak tempat makan lain dengan pelbagai pilihan menu menjadi saingan dan tumpuan orang ramai kini.

Ketika itu juga terdapat sebuah kedai buku paling popular, Kedai Buku Buyung Yunus, milik seorang Bumiputera. Di zaman kegemilangannya, kedai buku ini menjadi tumpuan ramai untuk mendapatkan buku-buku teks, buku rujukan dan peralatan tulis menulis. Kedai ini sudah tiada lagi.

Pembangunan mengubah wajah Teluk Intan berbanding era ketika ia menjadi tempat saya dan kawan-kawan `bermain’ hampir empat setengah dekad lalu. Namun pembangunan ini  tidak  mampu memadam kenangan lama yang menerjah lubuk memori ketika menelusuri Teluk Intan walau pun ada tempat-tempat nostalgia ini sudah hilang ditelan masa. Banyak kenangan namun tidak dapat saya nukilkan satu persatu. Yang pasti setiap kenangan akan tersimpan kemas dalam lipatan hati.

> AHMAD ABD HAMID memperolehi ijazah sarjana kewartawanan dari Universiti Boston, Amerika Syarikat. Beliau adalah bekas Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan.

Menara Condong, Teluk Intan, England, Jam

Artikel Sebelum

Artikel Lain