suria

Curves Gimnasium Khas Untuk Wanita

WANITA pasti menyukai konsep gimnasium yang menawarkan perkhidmatan eksklusif untuk  mereka. Privasi pasti menjadi  prasyarat utama bagi golongan wanita berkerjaya melakukan senaman. Namun kekangan masa sudah pasti menjadi halangan utama bagi mereka. 

Setiap ahli akan dibantu mengenai kaedah pengendalian mesin senaman yang betul. -Foto MUHAMMAD SHAHRIL ROSLI/THESTAR.
 

Justeru, kewujudan gimnasium Curves, sedikit sebanyak memberikan pilihan kepada wanita berkerjaya merehatkan minda disamping melakukan senaman tanpa sebarang gangguan. 

Pengarah Urusan Curves Malaysia dan Singapura, Alison Chin

Menurut Pengarah Urusan Curves Malaysia dan Singapura, Alison Chin semua alat senaman di gimnasium tersebut direka khas untuk menguatkan sistem kardiovaskular, tulang dan otot sekaligus dapat mengurangkan risiko menghidap osteoporosis pada usia tua. 


"Kekangan masa sering menjadi halangan utama, kerana wanita hari ini bukan sahaja seorang ibu, dan isteri malah mereka mempunyai komitmen terhadap kerjaya. Hanya tempoh selama 30 puluh minit diperlukan,  tiga hari seminggu untuk sesi senaman di sini," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Curves Bandar Sri Damansara, Kepong baru-baru ini. 




Lebih menarik Curves menggunakan teknologi 'Curves Smart' pada setiap mesin senaman dan selepas menjalani sesi senaman, anda boleh melihat berapa banyak kalori dibakar  dan otot yang digunakan ketika sesi senaman tersebut berjalan. 

"'Curves Smart' ini pastinya memberikan dorongan kepada mereka untuk terus berusaha menurunkan berat badan di samping mengekalkan kesihatan pada masa yang sama. 

"Mesin senaman di Curves juga direka khas untuk wanita, dengan menggunakan sistem hidraulik, bukannya mesin mengangkat bebanan yang berat. 

"Pengendalian mesin bebanan yang berat boleh menyebabkan wanita mengalami kecederaan ketika bersenam terutamanya kecederaan pada bahagian tulang dan buku lali," kata Alison.  




Terdapat 12 mesin senaman hidraulik dengan 12 stesen yang menyasarkan kelancaran sistem kardiovaskular serta pembentukan otot di bahagian atas, tengah dan bawah badan. 

"Terdapat lebih 10,000 cawangan Curves di 90 buah negara, menjadikannya sebagai gimnasium francais terbesar dunia. Dengan memiliki pas perjalanan Curves yang terdapat di kelab, anda boleh mempuyai akses untuk bersenam di mana-mana gimnasium Curves seluruh dunia," katanya. 
 
Bercerita mengenai sejarah gimnasium Curves, Alison berkata ia diasaskan oleh pasangan suami isteri, Gary Heavin di Texas, Amerika Syarikat, pada 1995. 

"Pasangan suami ini telah berazam untuk mencari teknik senaman yang sesuai bagi wanita selepas kehilangan ibunya akibat penyakit angin ahmar. 

"Matlamat utama mereka ialah menyediakan sebuah gimnasium di mana wanita boleh melakukan senaman secara bebas dengan mengaplikasikan teknik yang betul serta kekal sihat untuk tempoh jangka masa panjang," katanya.  

Munirah Amalina Mohd Amin. 


Sementara itu, jurulatih Curves, Munirah Amalina Mohd Amin berkata setiap ahli akan dibantu oleh jurulatih mengenai cara pengendalian mesin senaman yang betul. 

"Untuk golongan yang berusia, kelajuan sesebuah mesin di litar (workout station) boleh diselaraskan mengikut tahap kemampuan mereka," katanya. 

Munirah yang juga pemilik gimnasium Curves di Taman Tun Dr Ismail berkata tempoh 30 minit sudah cukup untuk mendapatkan bentuk tubuh yang ideal. 

"30 minit sudah cukup, untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat kerana seorang itu dapat membakar 500 kalori dengan mudah. 

"Curves mempunyai 24 stesen dan di setiap stesen ia hanya mengambil masa kira-kira 30 saat sahaja. Ia nampak mudah, namun cukup mencabar kekuatan fizikal anda," katanya. 




Menurutnya,  mereka yang mempunyai masalah kesihatan juga tidak perlu bimbang kerana mereka masih boleh melakukan senaman mengikut kemampuan masing-masing.

"Bagi setiap ahli baharu yang mendaftar, kita akan melakukan penilaian terhadap tahap kesihatan mereka. Jika mereka disahkan menghidap penyakit yang serius, kita akan melakukan pemantauan terhadap kadar denyutan jantung (heart rate) mereka. 

"Sekiranya, kita lihat mereka berada dalam keadaan pucat dan tidak bermaya, kita akan minta mereka berehat seketika sebelum mereka kembali melakukan senaman," katanya.

Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari www.curves.com, facebook, Curves Malaysia atau menghubungi talian 03-20936988, 012-2186215.

Artikel Lain