suria

Keunikan Rumah Pak Rahim Curi Perhatian Ramai

LANDSKAP dan seni bina sesebuah rumah memainkan peranan yang sama penting. Kecantikan sesebuah villa itu turut dipengaruhi oleh keunikan dan keindahan landskap di bahagian luarnya.

Sebaik melangkah masuk ke villa milik Abdul Rahim Anuar dan isterinya Yaumin Liwan, dapat dirasakan aura kemelayuan yang diketengahkan pasangan itu. Ukiran rumah yang diperbuat daripada kayu cengal dan resah, sesuai dengan konsep, 'Limas Amerika'.

Tidak setakat rekaan luarannya sahaja, bahagian dalam rumah ini turut dilengkapi dengan perabot jati yang istimewa.

Dengan keluasan 48x92 kaki persegi villa tiga bilik yang terletak di Sijangkang, Selangor ini memang sesuai untuk mereka yang gemarkan gaya nusantara.


Penggunaan perabot jati menyerlahkan lagi gaya nusantara di villa ini.

Menurut Abdul Rahim yang lebih mesra dengan panggilan Pak Rahim, 69, rumah tersebut dibina pada 2002 dan siap sepenuhnya pada 2006  dengan kos mencecah RM600,000.


Pak Rahim sering menghabiskan masa bermain piano untuk mendapatkan ilham menggubah lagu.

"Kalau hendak kira rumah saya ini murah, sebab saya bina atas tanah milik sendiri. Idea rumah ini pun daripada saya sendiri.

"Ideanya datang secara spontan ketika saya menjadi kontraktor dan membuat pengubahsuaian di Hatters Castle di Pulau Indah. Saya gemarkan konsep rekaan nusantara, selain gemarkan rumah Inggeris.

"Untuk menjadikannya sesuatu yang istimewa, saya gabungkan kedua konsep itu, jadilah villa, 'Limas Amerika'.

"Saya panggil 'Limas Amerika' sebab bumbungnya berbentuk 'A' manakala ukiran kayu dan reka bentuk luarannya lebih kepada konsep rumah 'Limas' ," katanya kepada mStar Online di rumahnya baru-baru ini.


Villa ini turut dilengkapi dengan loteng di tingkat atas.

Villa ini turut dilengkapi dengan 'loteng' di tingkat atas dengan tangga kayu yang sesuai untuk mereka yang bertubuh kecil.

Nyata bukan penulis sahaja terpesona dengan dekorasi rumah 'Limas Amerika' ini, malah beberapa pemimpin negara serta kerabat diraja seperti bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsuddin Osman dan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah berkunjung ke sini.

"Ramai orang kenamaan suka singgah di villa saya. Mereka suka dengan reka bentuknya yang istimewa. Saya tidak pernah belajar secara formal dalam bidang seni bina ini cuma pernah mengikuti kelas di Kedah," katanya yang juga seorang pemuzik dan penggubah lagu.


Terdapat juga ruang untuk membuat refleksologi.

Di bahagian luarnya pula,  Pak Rahim turut menyediakan ruang untuk membuat refleksologi dengan konsep yang ringkas tapi menarik.


Kebun bunga milik isteri Pak Rahim, Yaumin.

Selain mengekalkan konsep nusantara, Pak Rahim turut menggunakan simen ferro bagi membuat dinding rumah.

Simen ferro ini nampak seperti kayu, saya gunakan simen jenis ini supaya dapat elakkan serangan anai-anai.

Simen ini juga tahan lasak dan sangat sesuai untuk pembinaan rumah," katanya yang mewarisi bakat dalam bidang seni bina daripada arwah ayahnya yang terlibat dalam pembinaan istana di Bukit Jugra, Kuala Langat pada kurun ke-18.


Bunga ros Jepun.

Bukan itu sahaja, di kawasan sekitar villa milik Pak Rahim ini turut dihiasi dengan kebun bunga hiasan dan buah-buahan yang cukup mengasyikkan pemandangan.

"Kebun bunga orkid dan ros jepun ini, isteri saya yang usahakan. Dia minat menanam bunga sejak 1960-an lagi.

"Saya juga mempunyai kebun orkid seluas 15 ekar di Bukit Changgang. Terdapat lebih 50 jenis orkid di kebun kami," ujar Pak Rahim yang mempunyai tiga cahaya mata.


Yaumin dan Pak Rahim gemarkan dengan konsep nusantara.

Sementara itu, Yaumin, 66 yang lebih mesra dengan panggilan Wak Mi berkata, sesetengah pokok bunga memerlukan penjagaan rapi dan cuaca turut memainkan peranan penting.

"Terdapat lebih 50 jenis pokok bunga antaranya ros Jepun, janda kaya, bunga aladin, 15 jenis orkid, pokok puding, bunga kertas, keladi, bunga tanjung, kemboja serta tanaman herba seperti tenggek burung, halia putih.

"Di kebun juga, saya ada tanam pokok buah-buahan seperti limau manis, sukun, dokong, laici parsi dan nangka," katanya.


Terdapat lebih daripada lebih 15 jenis orkid yang ditanam di sekitar villa Pak Rahim.

Beliau berkata, teknik membaja dan penggunaan jenis tanah yang sesuai turut mempengaruhi tumbesaran pokok yang ditanam.

"Pokok bunga ini perlu dibaja sekurang-kurangnya sekali seminggu, jika tidak bunganya akan kurang. Jika hari hujan selalu, bunganya juga tidak kembang cantik. Jika cuaca terlalu panas ia perlu disiram dengan lebih kerap," katanya.

Selain itu, Wak Mi berkata, pokok bunga terutamanya orkid perlu disembur dengan 'racun malathion' bagi mengelakkan serangan serangga perosak.

"Wak Mi gunakan baja kompos, sebab dulu kami ada bela kuda, najis kuda ini dijadikan baja kompos. Tanahnya lagi subur dan pokok-pokok yang ditanam cepat besar dan sihat," katanya yang merupakan pesara kerajaan.


Kata Mohamad, teknik penanaman menggunakan pokok sarang burung sangat menjimatkan kos. -Foto SHAARI CHE MAT/THESTAR.

Menyedari pentingnya landskap untuk mewujudkan suasana lebih damai sesebuah kediaman itu, mStar Online turut mendapatkan pandangan pihak pakar, Mohamad Abdul Shukor yang berkongsi tips untuk menanam pokok tanpa menggunakan tanah.

Beliau yang juga bekas Pengarah Landskap di Perbadanan Putrajaya ini berkata, kaedah tersebut sangat mesra alam dan menjimatkan kos.

"Kita menggunakan konsep organik untuk menanam pokok tanpa perlu menggunakan tanah. Ini merupakan medium penanaman yang baharu dan tanaman yang digunakan ialah pokok sarang burung. Mula-mula kita gunting bahagian daunnya dan biarkan ia kering dengan sendiri.

"Selepas itu kita biarkan akar pokok sarang burung ini kering sendiri selama dua minggu, kita gunakan balik akar yang telah menjadi baja kompos. Kaedah sebegini menjimatkan kos dan kita tidak perlu menggunakan tanah," katanya kepada mStar Online di rumahnya baru-baru ini.


Konsep taman nusantara tropika ini tidak memerlukan modal yang besar.

Beliau berkata, kaedah yang digunakan sangat mudah dan sesuai bagi mereka yang mempunyai ruang yang kecil.

"Pokok sarang burung ini boleh diperolehi di ladang kelapa sawit. Ia juga boleh dijadikan pokok hiasan pada masa yang sama. Untuk mendapatkan sebuah tanaman tropika nusantara yang ringkas kosnya tidaklah terlalu mahal.

"Macam di rumah saya, keluasan tanah hanyalah 1000 kaki persegi. Kosnya tidak terlalu mahal hanya RM1,200. Saya menanam tiga jenis pokok iaitu pokok teduhan (kayu manis), pokok hiasan (tuja-tuja) dan pokok buah-buahan (jambu air).

"Saya banyak menggunakan bahan-bahan kitar semula dan terbuang bagi menjimatkan kos. Jadi kita tiada alasan lagi untuk mewujudkan 'taman mini' di rumah dengan kaedah mudah menanam pokok seperti ini," katanya.

Artikel Berikut

Kelebihan Bahasa...

Artikel Lain