Parlimen Bubar, Tempoh Rakyat Berfikir Dengan Serius - Rencana | mStar

Parlimen Bubar, Tempoh Rakyat Berfikir Dengan Serius

Pengumuman pembubaran Dewan Rakyat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan tiupan wisel bagi pengundi di negara ini memikirkan secara serius siapa yang mereka mahu memimpin negara. -Gambar hiasan
Pengumuman pembubaran Dewan Rakyat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan tiupan wisel bagi pengundi di negara ini memikirkan secara serius siapa yang mereka mahu memimpin negara. -Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Pengumuman pembubaran Dewan Rakyat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pagi Rabu merupakan tiupan wisel bagi pengundi di negara ini memikirkan secara serius siapa yang mereka mahu memimpin negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Bagi penyokong tegar tiada apa yang perlu difikirkan dan mereka hanya menunggu hari mengundi, namun untuk pengundi atas pagar sekarang adalah masa untuk mereka mencerna semua perkembangan yang berlaku sepanjang empat tahun 11 bulan lepas.

Sistem dua parti di negara ini memberi pengundi pilihan sama ada Barisan Nasional (BN) yang diteraju Datuk Seri Najib Tun Razak atau pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS yang dinasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sistem pilihan raya yang berasaskan 'first-past-the-post' atau kemenangan berdasarkan undi majoriti, menuntut parti memenangi sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan sebelum layak membentuk kerajaan persekutuan.

Sejak diadakan pertama kali pada 1959 hingga kali ke-12 pada 2008, BN yang sebelum ini dikenali Parti Perikatan, berjaya menguasai tampuk pentadbiran pusat dan diramal mengulangi kejayaan pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Akan tetapi, perubahan zaman menuntut lebih daripada sekadar rekod kejayaan untuk memancing undi, sementelah kaedah berkempen pada pilihan raya umum kali ini turut disertai media sosial yang terbuka untuk disalah guna.

Menurut Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin, trend pemilihan oleh pengundi di Malaysia lebih berdasarkan prestasi parti dan rekod pencapaian pemimpin.

Namun Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) itu tidak menolak faktor populariti turut memainkan peranan dalam membantu pengundi membuat pilihan.

Berdasarkan kajian kecenderungan pengundi yang dilaksana UMCEDEL tahun lepas, Najib mendahului Anwar kerana rakyat menerima baik kepimpinan Najib yang melaksanakan pelbagai program transformasi, katanya.

Namun begitu, katanya populariti pemimpin boleh berubah ketika pilihan raya kerana ada faktor lain memainkan peranan termasuk strategi kempen yang dijalankan parti bertanding.

Pandangan itu dikongsi Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat yang yakin pengundi atas pagar memainkan peranan penting pada pilihan raya umum kali ini.

"Terdapat 25 hingga 35 peratus pengundi atas pagar dalam negara memilih calon dengan melihat aspek populariti dan prestasi parti politik berkenaan.

"Akan tetapi situasi ini berbeza dengan pengundi tegar yang tidak melihat faktor ini kerana mereka pasti akan memilih pemimpin parti politik yang mereka sokong," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau bagaimanapun tidak menolak ada pengundi mudah terpengaruh dengan kebijaksanaan pemimpin politik berhujah dan mengolah isu yang kemudian diterjemahkan mereka sebagai undi.

Justeru kata beliau, pengundi mesti mengambil kira semua faktor dan tidak menerima bulat-bulat segala maklumat yang diperoleh, sebelum membuat keputusan kerana undi itu akan menentukan masa depan negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Nasib Jui Meng Di Tangan DAP?

Artikel Berikut

Klik

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

Artikel Lain