suria

Kesetaraan Gender

Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.
Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.
Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

LAPORAN tahunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Tentang Wanita 2012-2013 telah diterbitkan baru-baru ini.

Laporan itu mengemukakan rancangan yang telah mengambil kira pelbagai sisi demi mencapai kesetaraan gender dan memperkasakan kaum wanita.

Selain menegaskan keperluan terhadap usaha meningkatkan peranan wanita dalam bidang kepimpinan dan penyertaan mereka dalam bidang-bidang lain, laporan itu turut memberi penekanan terhadap isu keganasan terhadap wanita dan pengukuhan kedudukan ekonomi mereka.

Selain itu, ia membuka lembaran baru dengan menyarankan agar wanita dilibatkan dalam usaha membentuk dunia yang aman dan selamat, selain meletakkan soal kesetaraan sebagai isu yang utama dalam perancangan pembangunan dan belanjawan negara.

Pada fikiran saya, hak wanita adalah sebahagian daripada persoalan hak asasi manusia yang lebih luas. Sebarang langkah yang dibuat untuk membentuk kesetaraan gender perlu disambut dan disokong.

Bagaimanapun, kita perlu sedar tentang rintangan yang mungkin menanti dalam menuju ke arah itu.

Tiada tongkat sakti: Sikap memandang rendah terhadap gender tertentu tidak mampu dihapuskan hanya dengan menggunakan undang-undang. Perlembagaan hanya berperanan menyediakan peruntukan perundangan tentang kesetaraan. Untuk mencapai kesetaraan secara lebih menyeluruh adalah lebih sukar.

Sebagai contoh, hak setara untuk mengundi tidak semestinya akan menghasilkan kadar perwakilan yang lebih seimbang antara gender dalam parlimen, kabinet dan di peringkat kepimpinan perkhidmatan awam atau industri. Wanita di seluruh dunia masih dianggap hanya layak memainkan peranan tertentu.

Nilai-nilai keagamaan dan kebudayaan yang telah mengakar, faktor-faktor sosio-ekonomi, psikologi, biologi, serta tradisi yang telah berusia perlu diubah-suai. Dalam soal ini, tiada destinasi yang pasti, yang ada hanya jalan yang samar. Banyak usaha yang perlu dilakukan dari pelbagai sudut.

Kerja yang bernilai setara: Tidak memadai jika ganjaran yang sama diberi untuk kadar kerja yang sama. Sebaliknya ganjaran yang sama perlu diberi untuk kerja yang setara nilainya. Bidang penjagaan yang didominasi oleh wanita misalnya memberikan ganjaran yang kurang berbanding ganjaran yang didapati oleh pengendali jentera pengorek yang kebanyakannya adalah lelaki. Paradigma perlu dianjak secara radikal dalam usaha membandingkan nilai sosial antara pelbagai jenis pekerjaan kerana kesan ekonominya adalah besar.

Hak setara lwn hak berasingan: Dalam masyarakat yang dikuasai oleh kaum lelaki, layanan yang setara hanya memberi manfaat kepada golongan wanita yang memenuhi norma-norma lelaki. Golongan feminis terpaksa memutuskan sama ada hak berasingan adalah lebih baik daripada hak setara. Sebahagian feminis curiga dengan faham kesetaraan yang liberal. “Kesetaraan sebagai apa?” tanya mereka.

Sebagai contoh, dalam bidang undang-undang jenayah, provokasi boleh dikemukakan sebagai alasan dalam hujah pembelaan sekiranya provokasi berkenaan dibuat secara langsung. Ini mencerminkan psikologi lelaki. Wanita biasanya lebih lambat memberi reaksi terhadap penderaan, maka ini boleh menjejaskan keupayaannya untuk membela diri.

Sistem perakam waktu kedatangan yang digunakan di pejabat tampak sebagai sesuatu yang “buta gender”. Tetapi mengambil kira hakikat bahawa biasanya kaum ibu dan isteri memainkan peranan menguruskan rumah dan anak, sistem waktu kerja anjal sebenarnya lebih saksama untuk pekerja-pekerja wanita.

Undang-undang peribadi: Dalam banyak perlembagaan, termasuk Perkara 8(5) dalam Perlembagaan Malaysia, perlindungan terhadap kesetaraan tidak menyebabkan sebarang peruntukan “undang-undang peribadi” menjadi tidak sah. Pada sudut ini hukum-hakam agama dan adat-resam bertembung dengan tuntutan semasa ke arah kesetaraan gender. Tiada siapa tahu bagaimana dilema ini boleh diatasi.

Pendidikan dan pemberdayaan: Pendidikan adalah salah satu kunci untuk membentuk sikap percaya-diri, kemandirian dan rasa berdaya. Bagaimanapun, banyak orang di Afrika dan Asia merasakan bahawa pendidikan saja tidak mencukupi. Pekerjaan dianggap lebih penting daripada pendidikan.

Justeru itu, politeknik dan universiti perlu menyusun semula program untuk menghasilkan usahawan yang mampu mencipta peluang kerja, bukannya meningkatkan lagi jumlah graduan yang menganggur.

Antara harga diri dan hak: Kebebasan dan autonomi adalah penyubur yang penting bagi jiwa. Meski pun begitu, penggunaan sesetengah hak dapat mengurangkan harga diri kita, menyuburkan prasangka dan mengukuhkan sikap memandang rendah terhadap jantina tertentu.

Kebudayaan yang hedonistik dan berbaur seks (yang dikembangkan oleh kaum lelaki) yang meresapi tamadun moden merendahkan wanita dalam pelbagai cara. Dunia fesyen, kosmetik, filem, TV dan industri pengiklanan menjadikan wanita sebagai objek seks. Wanita digambarkan sebagai objek keinginan seksual dan sebagai makhluk yang remeh dan mentah.

“Pertandingan ratu cantik”, acara sukan dan pasukan wanita penyorak memainkan peranan yang sama. Turut menjadi sasaran golongan remaja perempuan. Seks laku. Di luar sebuah kedai pakaian di Megamall terpampang kata-kata: “If you have it, flout it” (Lawanlah arus kalau kamu mampu).

Pelacuran terus berkembang dan pelacur diberikan status “pekerja seks”. Selagi ada pelacuran, selagi itulah berlaku penyeludupan wanita. Pornografi juga merebak dalam masyarakat. Internet memburukkan keadaan.

Gerakan hak asasi wanita yang menentang eksploitasi terhadap wanita oleh kaum lelaki seharusnya mengambil pendirian tegas terhadap sikap sebahagian wanita yang berpegang dengan prinsip autonomi secara terlalu liberal.

Banyak wanita perlu diingatkan bahawa hak mereka tidak sentiasa baik untuk diamalkan, terutama jika ia dapat menjatuhkan maruah semua kaum hawa. Mereka perlu sedar bahawa pegangan moral yang longgar dalam masyarakat liberal dapat menjejaskan maruah kaum wanita.

Suasana dalam negeri: Malaysia telah mengambil banyak langkah perundangan dan pentadbiran ke arah menghapuskan diskriminasi ke atas wanita. Bagaimanapun, ada beberapa cabaran yang masih belum dapat diatasi. Beberapa unsur yang boleh dianggap menindas wanita masih dapat pada beberapa ketetapan berkenaan kewarganegaraan, undang-undang peribadi dan definisi bagi peribumi Sabah dan Sarawak.

Jaminan perlembagaan daripada diskriminasi gender tidak diterapkan terhadap sektor swasta: Beatrice Fernandez v Sistem Penerbangan Malaysia (2005). Beberapa undang-undang jenayah seperti Seksyen 498 (berkenaan memikat isteri orang) meremehkan kaum wanita. Undang-undang tentang provokasi dan mempertahankan diri pula mencerminkan psikologi kaum lelaki.

Seperti dalam masyarakat lain, banyak institusi patriarkal masih wujud dalam masyarakat kita. Sebahagian jawatan keagamaan dan warisan masih dikhususkan untuk lelaki. Walaupun sebahagian eksekutif politik berani untuk membuka badan kehakiman syariah kepada wanita, sikap lama masih kekal dan wanita-wanita yang terlantik masih dipinggirkan.

Ringkasnya, ideal kesetaraan di mata undang-undang sememangnya cemerlang dan berpotensi. Namun masih banyak kerumitan yang timbul. Mungkin matlamatnya selama-lamanya tidak akan dapat dicapai secara menyeluruh.

> Shad Saleem Faruqi adalah Profesor Emeritus Undang-undang di UiTM. Pandangan yang diungkapkan di sini adalah pandangan penulis sendiri sepenuhnya.

Artikel Lain